Selasa, 25 Mei 2010

AP gula ke Sabah, Sarawak

PENAMPANG – Kerajaan bercadang memberi permit import (AP) gula bertapis kepada Sabah dan Sarawak bagi mengatasi masalah kekurangan gula serta menurunkan harganya di kedua-dua negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab dalam pengeluaran AP tersebut.

“Walaupun lesen bagi membuka kilang gula di sini telah diluluskan, ia memakan masa antara tiga hingga empat tahun untuk dibuka.

“Jadi dalam waktu itu, saya minta kebenaran daripada MITI supaya meluluskan AP untuk mengimport gula siap terus dari negara sumber,” katanya pada sidang akhbar selepas program kesedaran kepenggunaan bersama masyarakat luar bandar dan pengumuman Skim Kawalan Musim Perayaan sempena Pesta Kaamatan 2010 di Kompleks Buhavan Square, Dongongon di sini hari ini.

Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Philip Lasimbang; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah, Jaafar Walad.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kewangan kepada empat koperasi terpilih di negeri ini dengan nilai keseluruhan RM410,000.

Menurutnya, MITI sedang mempertimbangkan cadangan itu terutama dalam tempoh menunggu kilang gula berkenaan beroperasi.

Beliau memberitahu, langkah tersebut juga amat relevan memandangkan Sabah sahaja mengimport kira-kira 68,000 tan metrik gula setahun pada masa ini.

Dalam pada itu katanya, tindakan berterusan sedang dilakukan bagi menyeragamkan harga barangan di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dari semasa ke semasa.

“Kita sedang berusaha menyeragamkan harga barangan di kawasan luar bandar dan bandar di kedua-dua negeri itu terlebih dahulu sebelum harga barang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung diseragamkan,” katanya.

3 ulasan:

2718 berkata...

good.. langkah2 mengatasi kekurangan gula di sabah dan sarawak amat perlu terutamanya sebelum menjelang perayaan.

somboi berkata...

sabah dan sarawak selama ini sering mengalami masalah kekurangan gula. dengan langkah ini, masalah kekurangn gula di sabah dan sarawak akan dapat diatasi. tak perlulah lagi saya minum kopi tanpa gula lepas ni..

Lucas berkata...

langkah yg wajar...lama juga nak bina kilang gula kan...maybe nak tunggu tebu utk buat gula tu tumbuh...but harap2 pemberian AP tu dibuat secara terbuka agar setiap syarikat boleh bersaing untuk mendapatkannya...tapi persaingan yg sihat & adil la hehe..