Selasa, 25 Mei 2010

84 aduan terhadap SPRM diterima sepanjang tahun lalu

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Sebanyak 84 aduan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk salah laku, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian dalam tugas terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diterima oleh Jawatankuasa Aduan JK-Aduan SPRM sepanjang tahun lalu.

Pengerusi JK-Aduan SPRM, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, aduan itu diterima dari pelbagai sumber termasuk surat rasmi (43 aduan), aduan perkhidmatan atau e-Aduan (14 aduan), surat layang (12 aduan), internet termasuk e-mel dan blog (11 aduan) serta panggilan telefon (empat aduan).

Menurutnya, dari jumlah itu, aduan terbanyak diterima membabitkan penyalahgunaan kuasa iaitu 27 aduan, diikuti perbuatan salah laku dan kecuaian dalam tugas yang masing-masing berjumlah 14 aduan serta dua aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur.

''Sebanyak 27 aduan lagi membabitkan lain-lain perkara termasuk aduan bersifat jenayah dan permohonan status siasatan," katanya pada majlis penyerahan Laporan Tahunan JK-Aduan SPRM 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd. Noor yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan memberitahu, sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka berhubung aduan tersebut, dengan 55 daripadanya telah selesai manakala 11 lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati 41 kes tidak melanggar kesalahan tatatertib, lima kes adalah aduan tidak benar, lima kes lagi diberi amaran dan empat kes dirujuk kepada Lembaga Tatatertib SPRM.

''Sepanjang 2009, Lembaga Tatatertib SPRM menerima sebanyak tujuh kes tatatertib melibatkan dua pegawai dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas melebihi tujuh hari," katanya.

Mohd. Noor berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan Februari tahun lalu itu turut mencadangkan penambahbaikan bagi prosedur kerja SPRM termasuk mengenai senjata api di mana SPRM dicadangkan agar memeriksa semula prosedur menyimpan dan menggunakan senjata api.

''Kami mencadangkan supaya prosedur kerja di SPRM diperbetulkan iaitu apabila menyiasat kes wanita, maka hendaklah ada seorang wanita bersama pegawai penyiasat supaya tidak timbul fitnah.

''Kita juga mencadangkan supaya rakaman pernyataan hendaklah diadakan dalam bilik khas yang selesa dan disediakan kamera litar tertutup (CCTV) supaya rakaman pernyataan boleh diambil dalam suasana yang selesa dan dikesan oleh CCTV," katanya.

Cadangan lain termasuklah pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan kepada tertuduh supaya membawa pasport antarabangsa ke mahkamah agar apabila Timbalan Pendakwa Raya mahukannya, tertuduh tidak perlu ditahan sementara menunggu pasportnya diambil di rumah seperti yang banyak berlaku sekarang ini.

Sementara itu pada sidang akhbarnya, Abu Kassim berkata, pihak SPRM akan meneliti setiap cadangan tersebut dan mengambil tindakan bagi membolehkan penambahbaikan terhadap prosedur kerja SPRM dilakukan.

''Sebenarnya ada antara cadangan ini telah pun kita laksanakan," katanya.

Ditanya mengenai aduan yang diterima berhubung kes mendiang Teoh Beng Hock, beliau berkata, tiada aduan rasmi diterima oleh JK-Aduan SPRM.

Namun, kata beliau, jawatankuasa itu telah mengambil langkah proaktif untuk menyemak dan mengkaji bukan sahaja aspek prosedur siasatan malah merangkumi aspek keselesaan dan keselamatan saksi dan pegawai serta keperluan kemudahan logistik SPRM keseluruhannya.

Tiada ulasan: