Ahad, 23 Mei 2010

4 Adun Pakatan Rakyat Kedah tolak dakwaan akan lompat parti

BERITA MINGGU


ALOR SETAR: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Kedah, masing-masing tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada DAP menyatakan sokongan dan taat setia kepada kerajaan negeri yang diterajui Pas, sekali gus menolak dakwaan mereka akan melompat parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Tiga wakil rakyat mewakili PKR itu, iaitu Adun Kulim, Lim Soo Nee, S Manikumar (Bukit Selambau) dan Tan Chow Kang (Sidam) serta wakil rakyat DAP dari kawasan Kota Darulaman, Lee Guan Aik menyatakan sokongan taat setia itu ketika berucap dalam ceramah di Markas Pas Kedah di Kota Sarang Semut, dekat sini, malam tadi.

Tiga wakil rakyat PKR itu yang juga anggota Exco kerajaan negeri serta wakil rakyat DAP berkenaan dikaitkan dengan spekulasi akan melompat parti dan menjadi Adun Bebas kerana didakwa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas Kedah yang mentadbir negeri ini.

Mereka mendakwa walaupun ada sedikit rasa tidak puas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri, perkara itu diselesaikan dengan baik melalui perbincangan kolektif sebagai anggota komponen dalam Pakatan Rakyat dan tidak sampai ke tahap ingin keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Keempat-empat mereka juga mahu supaya semua pihak segera menghentikan spekulasi seumpama itu kerana mahu menumpukan kepada usaha meneruskan kesinambungan pembangunan negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana dihebohkan pihak tertentu kerana menerima sokongan padu daripada semua 20 Adun Pakatan Rakyat, termasuk empat wakil rakyat terbabit.

Azizan berkata, tiada ada alasan baginya membubarkan DUN hanya semata-mata mahu memenuhi spekulasi yang disebarkan pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan dan melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Katanya, semua keempat-empat Adun itu menyatakan pendirian masing-masing tanpa dipaksa, sebaliknya dengan kerelaan sendiri serta tiada syarat dikenakan

Tiada ulasan: