Sebahagian lagi perlu menunggu hingga setahun berikutan JKM enggan menerimanya kerana masih berwaris dan sudah ada yang meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke rumah perlindungan seperti Rumah Seri Kenangan atau Rumah Ehsan.
Pengerusi Pusat Penjagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado, berkata kos penyelenggaraan bulanan rumah itu ditampung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian yang berjumlah RM17,950.42 sebulan untuk 20 orang penghuni.
“Kerap kali kos bulanan melebihi jumlah yang ada berikutan perbelanjaan membawa penghuni mendapatkan rawatan susulan setiap minggu,” katanya.
Kes Satu
Bagi Jamaludin Abdullah, 63, kisah hidupnya cukup tragis.
Pengurus Rumah Nur Hasanah, Azhar Jaafar, berkata ketika mudanya, Jamaludin adalah bekas tahfiz. Awalnya dia ditempatkan oleh anak perempuannya di pusat penjagaan orang tua-tua swasta. Bagaimanapun, dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana masalah kesihatan.
Jamaludin bagaimanapun diserahkan Hospital Sungai Buloh kepada Rumah Nur Hasanah apabila rumah penjagaan orang tua-tua swasta enggan menerimanya lagi berikutan tidak mampu membayar yuran bulanan.
Walaupun tidak bisu, Jamaludin enggan bercakap. Setiap kali membuka mulut dia hanya mengatakan: “Walau apapun, aku mesti balik”.
Alamat pada kad pengenalannya menunjukkan dia tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam. Apabila disiasat, anaknya tidak tinggal di situ, sebaliknya alamat berkenaan rumah milik keluarga Cina.
Data peribadi waris direkodkan pihak Hospital Sungai Buloh juga palsu. Bukan saja alamat berkenaan tidak wujud, malah nombor telefon diberikan juga tiada dalam perkhidmatan.
Kata Azhar, Jamaludin memiliki seorang anak bernama Marliana dan berusia 35 tahun. Berikutan masih mempunyai waris, Jamaludin tidak diterima JKM untuk ditempatkan di Rumah Seri Kenangan. Sehingga kini Jamaludin sudah setahun tinggal di Rumah Nur Hasanah.
Kes Dua
Bekas tentera berpangkat tinggi, Abdul Jabbar (bukan nama sebenar) ketika mudanya menghabiskan banyak masa dengan berfoya. Walaupun ada isteri dan anak, dia tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
Apabila pulang ke rumah, ada saja yang tidak kena pada matanya. Kalau bukan anak, isteri yang akan disepak terajangnya. Pada usia 60 tahun, Abdul Jabbar masih tebal dengan egonya hingga dia terbabit dengan kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi sendirian. Ketika dirawat di hospital, Abdul Jabbar mengatakan dia tidak ada waris menyebabkan pihak hospital menempatkannya di Rumah Nur Hasanah.
Bagaimanapun, kelas agama diikutinya setiap hari di rumah itu akhirnya melembutkan hati Abdul Jabbar. Dia akhirnya mengakui masih mempunyai isteri dan anak.
Mujurlah ketika petugas Rumah Nur Hasanah menelefon anaknya, mereka sudi mengambil Abdul Jabbar, malah memaafkan semua kesilapan lalunya.
Pertemuan semula Abdul Jabbar dengan anaknya berlaku di Rumah Nur Hasanah dengan derai air mata. Abdul Jabbar walaupun ‘nakal’ ketika mudanya, dia beruntung masih dimaafkan oleh anaknya.
Kes Tiga
Mahmud Rahmat, 68, antara contoh pesakit terdampar yang tiada waris. Pernah berkahwin, tetapi pada awal perkahwinan dia dikhianati isterinya. Ketika Mahmud keluar bekerja, isterinya menduakan dia dengan lelaki lain.
“Sejak itu saya tidak lagi berkahwin dan hidup merantau dari satu negeri ke satu negeri bagi merawat hati yang luka. Hati bertambah sakit kerana bekas isteri curang dengan kawan baik sendiri,” katanya.
Sejak itu katanya, dia enggan pulang ke kampung halamannya, malah tiada keinginan untuk berbuat demikian.
Mahmud mendapatkan rawatan di Hospital Kajang disebabkan masalah kencing manis. Namun, kerana usianya yang sudah lanjut dan tidak berwaris, dia dirujuk ke Rumah Nur Hasanah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan