SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menafikan dakwaan bekalan gula di beberapa daerah seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor tidak mencukupi seperti yang disiarkan sebelum ini.
Menurut beliau, setakat ini barang keperluan asas seperti gula, beras, minyak dan sebagainya di pasaran hari ini masih mencukupi dan rakyat Selangor tidak perlu bimbang.
“Sebenar pengguna menyimpannya, mereka menyimpan gula walaupun pada masa ini tiada bukti mengatakan terdapatnya kekurangan gula atau apa-apa bahan asas. Kita sudah ada stok yang sememangnya cukup sejak dua tahun lalu. Saya rasa orang ramai tidak panik, bekalan masih cukup.
“Mungkin pada masa ini, mereka menyimpan stok untuk hari raya memandangkan keperluan asas amat penting pada musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung isu kekurangan bekalan gula di beberapa daerah di Selangor seperti yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini selepas merasmikan Selangor Muzikal Ektravaganza di Dataran Shah Alam, semalam.
Sementara itu Elizabeth berkata, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang sembilan berlangsungnya acara tersebut yang bermula 1 hingga 9 Ogos ini, antaranya Konsert Antara Dunia, Festival Jalanan, Persembahan Kebudayaan, Konsert Nasyid, Festival Kembar dan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia.
“Berjenis variasi persembahan telah dipertontonkan seperti puisi, teater serta muzik akustik sehinggalah ke pameran kereta klasik mini dan tidak ketinggalan dipaparkan cara hiudp dan budaya masyarakat orang asal di Selangor.
“Tidak ketinggalan juga dengan penganjuran pertandingan turut diadakan seperti tarian kontemporari, pertandingan tugu dram, marhaban dan berzanji serta pertandingan ‘brass band’ dan drum line’," katanya.
Beliau juga amat mengalu-alukan orang ramai khususnya penggemar seni bagi memeriahkan festival anjuran Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor itu.
:Selain persembahan kebudayaan, acara yang dijangka hangat adalah Konsert Antara Dunia, Persembahan Kugiran, Persembahan Artis Jalanan, Festival Kembar, Patriotik Idol, Konsert Nasyid, Persembahan Tugu Drum Circle dan banyak lagi, katanya.
Program ini akan mengambil tempat di Dataran Shah Alam, Laman Budaya, Stadium Malawati, Taman Tasik Shah Alam, Plaza Alam Sentral, Dataran Kemerdekaan, Auditorium MBSA dan Subang Parade.
No comments:
Post a Comment