Oleh NORAINI NORDIN
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan melantik seorang pakar di setiap negeri untuk menjadi penceramah khas wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit tersebut.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pakar yang terdiri daripada kakitangan kementerian itu akan memulakan latihan di Putrajaya, Selasa ini.
"Mereka akan dilatih secukupnya mengenai H1N1 serta cara menyampaikan maklumat tersebut kepada seluruh masyarakat termasuk doktor swasta,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendedahkan kefahaman dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai wabak H1N1 masih rendah termasuk cara penularannya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan akhbar hari ini berkata, sekumpulan pakar WHO telah datang ke Malaysia baru-baru ini dan dalam laporan mereka yang diperoleh Khamis lalu menunjukkan orang awam masih tidak memandang serius bahaya wabak H1N1.
Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, kementerian akan mengadakan kaji selidik mengenai tahap kesedaran rakyat berkaitan H1N1 dan keberkesanan kempen yang telah dijalankan oleh kerajaan selama ini.
"Pendedahan yang menyebut tahap kesedaran rakyat negara ini mengenai H1N1 rendah dibuat oleh WHO setelah mereka melakukan kaji selidik rambang.
"Sebab itu kementerian perlu membuat kaji selidik sendiri. Ia akan dilakukan secepat mungkin,'' katanya.
No comments:
Post a Comment