Wednesday, June 3, 2009

Wartawan tanggung risiko cari berita

SINAR HARIAN ONLINE


Jujur, telus, amanah dan berwawasan adalah antara etika yang mesti dipegang oleh mereka yang memegang profesyen sebagai wartawan. Berdasarkan tinjuan yang dibuat, ramai mengakui wartawan banyak memainkan peranan membantu menyelesaikan isu masyarakat dan memberi gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku dalam negara.

Kejadian wartawan dikasari ketika menjalankan tugas seharusnya tidak berlaku. Wartawan seperti kerjaya profesional lain perlu dihormati kerana peranan memberi sumbangan yang besar dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains,Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, berkata, kerjaya wartawan mempunyai etika dan garis panduan yang ditetapkan seperti profesion yang lain. Tugas wartawan tentulah menyebarkan maklumat dan menyampaikan kebenaran.

“Hubungan baik dan cara berkomunikasi antara satu sama lain perlu dijaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini supaya kerja yang dijalankan lebih lancar,” katanya.

Menurutnya, dalam menjalankan tugas, wartawan sering dijemput menghadiri sesebuah majlis dan sidang media. Jika timbul ketidakpuasan hati dan berasa wartawan menganggu majlis, pihak penganjur perlu meminta mereka beredar secara baik bukan memaki hamun dengan kata-kata kesat.

“Begitu juga wartawan perlu akur jika diminta beredar dan keluar secara hormat supaya tidak timbul masalah yang lebih teruk,” katanya.

Rodziah berkata, jika semua pihak mengamalkan profesionalisme maka pihak yang terlibat perlu bijak menghadapi sesuatu situasi tanpa melibatkan pergaduhan sehingga boleh memberi kecederaan.

“Setiap pihak perlu menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang telah ditetapkan. Jangan bertindak melampaui batas sehingga membawa masalah kepada orang lain.

“Kita perlu sedar mengenai peranan dan tanggungjawab yang digalas dan jangan sesekali mencampur aduk dengan urusan peribadi,” katanya.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Md Daud, berkata, kejadian wartawan dikasari atau diugut adalah salah satu cabaran dalam kerjaya sebagai wartawan dan itulah realiti yang perlu dilalui seorang yang ingin bergelar wartawan.

“Walaupun mengalami kesukaran namun seorang wartawan yang bertanggungjawab akan berusaha menghadapi sebarang masalah sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam usaha mendapatkan berita, ada wartawan yang terpaksa menyamar.

”Jika wartawan ke tempat yang agak kontroversi, kadang kala kena menyamar dan berlakon untuk mendapatkan maklumat walaupun situasi itu mendedahkan mereka kepada risiko yang tinggi.

“Selain menghasilkan berita yang tidak berat sebelah, wartawan juga perlu bijak berfikir dan bertindak dalam menghadapi situasi genting supaya keselamatan diri terjaga,” katanya.

Norila berkata, sememangnya diakui terdapat sesetengah individu tidak menyukai wartawan tetapi suka atau tidak wartawan tetap menjalankan tugas untuk mendedahkan kebenaran.

“Mungkin mereka takut wartawan mendedahkan aktiviti yang menyalahi undang-undang sebab itu mereka tidak mengalu-alukan kehadiran wartawan.

“Seperti polis yang bertindak menjaga keselamatan orang awam, wartawan juga mempunyai tanggungjawab menyampaikan maklumat demi kepentingan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu menghormati dan memberi kerjasama kepada wartawan yang bertindak menyebarkan maklumat seperti juga kita menghormati profesion lain.

Seorang peniaga, Hasbullah Talib, 35, berkata, dalam keadaan politik dan ekonomi yang tidak begitu stabil ini wartawan mudah dituduh melaporkan sesuatu secara berat sebelah.

“Tidak dinafikan ada sebilangan yang sedemikian, tetapi tidak semua wartawan begitu. Ada yang jujur membuat laporan, cuma mungkin liputan itu mengenai parti pembangkang, terpaksalah dilaporkan.

“Tidak semestinya mempunyai liputan majlis pembangkang, maka wartawan berkenaan menyokong parti itu. Begitu juga jika wartawan membuat laporan mengenai parti kerajaan, belum tentu secara peribadi dia akan menyokong,” katanya.

Dia juga berharap supaya wartawan di negara ini lebih telus dalam menyiarkan berita, tidak menyembunyikan kebenaran supaya institusi media yang diwakili lebih dihormati.

Seorang guru, Halimatus Saadiah Abdul Rahman, 36, berkata, tugas wartawan adalah mendapatkan maklumat dan menyampaikan kebenaran kepada masyarakat. Orang ramai perlu menghormati dan memberi kerjasama sebaik-baiknya kepada wartawan yang menjalankan tugas.

“Melalui wartawan kita mendapat maklumat mengenai sesuatu perkara yang berlaku. Banyak perkara yang saya tahu dengan membaca surat khabar sebab itu peranan wartawan amat penting dalam mengetengahkan isu semasa untuk pengetahuan orang ramai.

“Setiap hari tertunggu-tunggu isu apa yang berlaku di sekitar sama ada dalam negara dan luar negara supaya saya tidak ketinggalan dalam mengetahui perkembangan semasa,” katanya.

Halimatus Saadiah turut berharap wartawan negara ini menjalankan tugas mereka dengan lebih jujur tanpa dipengaruhi sentimen peribadi.

Seorang pelajar, Naimah Jailani, 19, pula berkata, wartawan memikul tanggungjawab besar dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai. Wartawan menjadi perantara antara kerajaan dan masyarakat berkaitan menjaga kepentingan semua.

“Jika tidak ada wartawan dunia ini tidak akan berkembang dan kebajikan rakyat sesebuah negara akan terabai,” katanya.

No comments: