Monday, June 1, 2009

Pembantu klinik bantu gugur janin dipenjara dua tahun

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahukan duit RM700, seorang pembantu klinik sanggup menanggung risiko melakukan pengguguran terhadap janin berusia lebih tiga bulan sehingga menyebabkan kematian wanita mengandung itu.

Tindakan itu akhirnya mengundang padah kepada Wong Ah Kean apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada wanita itu selepas mengetepikan hukuman denda RM6,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwa raya merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 24 Sept tahun lepas, yang mengenakan hukuman denda RM6,000 terhadap Wong, 63, setelah dia mengaku bersalah melakukan pengguguran haram, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asmah Ahmad berhujah hukuman itu tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan kerana ia melibatkan kehilangan dua nyawa.

Bagaimanapun, peguam bela Francis Goh berkata Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan fakta kes terbabit.

Berdasarkan fakta kes kejadian pada 14 Ogos 2007, Wong dihubungi seorang wanita Indonesia, Fitriani yang meminta bantuannya untuk menggugurkan kandungan berusia lebih tiga bulan pada ketika itu.

Wong, yang bersetuju melakukannya, memulakan prosedur pengguguran dengan memasukkan lima tiub plastik ke dalam kemaluan Fitriani ketika wanita itu bermalam di Klinik Sui On Medical Hall di Jalan Hang Kasturi, di sini.

Pada pukul 11 tengah hari keesokannya, Fitriani mengadu sakit perut dan mengalami pendarahan teruk tetapi hanya diberikan pil tahan darah oleh Wong dan dibiarkan terbaring di atas kerusi malas di klinik terbabit sehingga wanita itu meninggal dunia pada pukul 5 petang.

Hakim Mahkamah Tinggi Zainal Azman Ab Aziz yang meneliti fakta kes itu mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf serta tidak melihat fakta kes dengan mendalam.

Beliau bersetuju hukuman denda itu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Wong.

"Sepatutnya hakim (Mahkamah Sesyen) menggunakan kuasa budi bicaranya dengan lebih baik dan bijak," kata Hakim Zainal Azman.

Hakim Zainal Azman mendapati responden tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan pengguguran dan mengambil risiko untuk melakukannya walaupun mengetahui janin telah berusia lebih tiga bulan.

"Dalam menjatuhkan hukuman, kepentingan awam perlu diambil kira terutamanya faktor bahawa pengguguran haram adalah bercanggah dengan moral dan tidak dapat diterima masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, beliau membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan hukuman denda RM6,000 terhadap Wong dan menggantikannya dengan hukuman penjara dua tahun.

Hakim Zainal Azman berkata: "Apa yang kamu lakukan itu adalah sangat tidak patut. Sudahlah kamu ambil duit dia, kemudian kamu biarkan dia mati begitu sahaja."

"Mangsa (Fitriani) telah meninggal dunia pada pukul 5 petang dan responden (Wong) hanya menghubungi ambulans tiga jam selepas itu. Kenapa berlaku senggang masa ini? Kenapa responden tidak mengawasi keadaan mangsa dan dibiarkan mati begitu?

"Jika responden mengawasi keadaan mangsa, saya percaya mangsa boleh diselamatkan, tidak kiralah dia warga Indonesia atau Malaysia, dia patut diselamatkan," katanya.

Sebaik mendengar keputusan Hakim Zainal Azman, Wong tunduk sambil memicit-micit dahinya dan kelihatan menangis.

Hakim Zainal Azman bagaimanapun membenarkan permohonan Wong untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu, dengan syarat wang jaminan ditambah daripada RM8,000 kepada RM12,000, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

No comments: