Friday, June 26, 2009

Pas kecewa pusat gay masih berleluasa

SINAR HARIAN ONLINE


GEORGETOWN - Pas Bukit Bendera menganggap usaha kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) untuk membanteras maksiat tidak begitu serius dan sama sahaja seperti Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Saiful Lizan Mohd Yusoff berkata, aduan demi aduan yang dikemukakan selama ini tidak diberi perhatian dan seolah-olah sepi begitu sahaja.

Beliau tidak nampak kesungguhan pemimpin kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan selama ini seolah-olah hanya perkara kecil sedangkan ia sebenarnya menjejaskan umat Islam kerana melanggar hukum Allah.

“Saya sudah mengemukakan aduan mengenai sebuah pusat aktiviti gay yang berselindung di sebalik nama kelab menjaga kesihatan di sebuah kompleks membeli belah di Jalan Burma.

“Saya sudah hantar surat rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow lebih seminggu lalu tetapi hingga hari ini, masih tiada maklum balas.

“Saya juga hantar melalui e-mel kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Tak tahulah sama ada dia baca atau tidak e-mel saya ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau kesal dengan sikap dingin kerajaan negeri mengenai beberapa perkara yang menyentuh kepentingan umat Islam, terutama yang berkaitan dengan maksiat.

“Masalah ini pernah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tetapi hanya dipandang sepi. Lantaran itu, ia diserahkan kepada Ahli Exco dengan harapan mendapat penyelesaian segera, namun hampa juga,” katanya.

Menurutnya, rakyat menaruh harapan tinggi kepada kepimpinan Guan Eng untuk membawa perubahan sejajar dengan pendekatannya ke arah masyarakat berakhlak dan berintegriti tinggi bersesuaian dengan prinsip ‘amar ma’ruf nahi mungkar’.

“Tetapi ia masih belum menampakkan kesungguhan ke arah itu termasuk konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diterapkan oleh kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Saiful Lizan berkata, Pas Bukit Bendera mendesak MPPP menyemak semula dan mengambil tindakan tegas terhadap premis hiburan.

No comments: