Tuesday, June 23, 2009

H1N1: Tiada cadangan tutup semua sekolah - Muhyiddin

BERNAMA


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang menutup semua sekolah dan melarang perhimpunan awam diadakan di Lembah Klang akibat penularan penyakit Influenza H1N1 walaupun kebanyakan kes dilaporkan di sekitar ibu negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan akan melaksanakan semua cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam mengawal penyakit itu daripada merebak.

"Kecualilah jika ada keperluan yang mendesak, kita tidak mahu rakyat merasa cemas tanpa sebab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama peserta Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengambil dua tindakan berkenaan memandangkan bilangan kes penyakit itu di Lembah Klang telah meningkat kepada 68 kes hari ini, dengan empat buah sekolah diarah ditutup selama seminggu.

Muhyiddin berkata Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan dan jika penularan penyakit itu tertumpu pada satusatu kawasan saja, tindakan segera akan diambil.

Mengenai cadangan Malaysia agar semua negara menyaring mereka yang hendak keluar dari negara itu, beliau berkata WHO akan membincangkannya, dan sebelum keputusan dibuat mengenainya, Malaysia akan terus melaksanakan peraturan WHO dengan menyaring mereka yang hendak masuk ke negara ini.

Muhyiddin berharap peningkatan kes penyakit itu dapat dibendung secepat mungkin.

Beliau meminta Kementerian Kesihatan mengadakan perjumpaan dengan guru dan ibu bapa bagi menjelaskan mengenai sebab sekolah ditutup agar mereka dapat membantu dalam menangani serangan penyakit itu.

No comments: