Sunday, May 24, 2009

Ribuan hadiri ceramah Anwar dan Nizar sempena PRK Penanti

Wan Nordin Wan Yaacob


PENANTI - Biarpun Umno/BN tidak bertanding menentang Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dun Penanti, namun kaedah kempen yang dijalankan Pakatan Rakyat tetap bersemangat.

Ceramah sulung (pertama) yang diadakan malam tadi di Kubang Semang mendapat sambutan ribuan penyokong Pakatan Rakyat meskipun kempen sebenarnya baharu sahaja bermula.

Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.

Sejak jam 8.00 malam, kenderaan bertali arus masuk ke perkarangan kawasan ceramah dan keadaan semakin sesak apabila ceramah dimulakan sekitar jam 9.00 malam.

Kehadiran Anwar, Nizar dan beberapa tokoh lain nyata mendapat sambutan hangat bagaikan suasana tersebut seolah-olah kempen yang berjalan itu adalah kempen tatkala Pakatan Rakyat menentang Umno/BN.

Anwar dan Nizar dalam ceramahnya menyentuh isu rampasan kiasa di Perak dan isu mengapa Umno/BN takut untuk menyertai pilihan raya Penanti.

Anwar secara sinis menyebut, "Umno/BN kata mereka tak mahu masuk PRK Penanti kerana membazirkan wang dan ia lebih bersifat menyelesaikan masalah dalam KeADILan, saya nak tanya apa pula alasan Umno/BN yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menyertai PRK Dun Manik Urai (Kelantan) yang juga bakal diadakan.

"Apakah Umno/BN tidak merasakan menyertai PRK Manik Urai nanti satu pembaziran?," katanya.

Sementara itu Nizar pula dalam ceramahnya menyentuh krisis politik Perak yang baginya adalah berpuncari dari tindakan rampasan kuasa yang dilakukan BN.

Nizar menyelar tindakan BN itu yang baginya membelakangi demokrasi, memalukan negara dan satu penzaliman ke atas hak rakyat.

Justeru sebagai penyelesaiannya, Nizar menggesa Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memohon perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun segera bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang sah.

Ceramah tersebut berakhir pada jam 12.30 malam dalam keadaan yang cukup aman tanpa gangguan. _

No comments: