Thursday, May 28, 2009

Khairy adalah penanti dalam politik Umno yang jahil demokrasi

TV ANTARA


Secara rasminya Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti, di Pulau Pinang Ahad ini. Ini juga bermakna Umno juga tidak akan menghantar wakilnya berkempen di situ.

Namun itu tidak bermakna Umno dan BN tidak boleh berkempen dari jauh mengenai isu Penanti; setidak-tidak menerusi media arus perdana milik mereka. Lantas modal yang ada untuk Umno turut dalam proses pilihanraya kecil Penanti ialah melalui Aminah Abdullah.

Aminah, calon bebas dalam pilihanraya kecil itu dirasakann modal sesuai kerana beliau bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini bertanding sebagai calon bebas menentang Dr Mansor Othman yang bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri Satu jika menang.

Untuk kalahkan Dr Mansor mungkin sukar kerana Penanti adalah dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh; kubu Anwar Ibrahim. Bagaimanapun ini tidak menghalang Umno melalui media arus perdana yang dikuasainya untuk membuka pekong PKR dengan memperalatkan cita-cita Aminah untuk menang.

Langkah pertama Umno ialah dengan mengatakan piliharaya kecil Penanti tidak mengiikut lunas demokrasi. Jadi menang atau kalah Dr Mansor tidak penting bagi Umno. Yang utama ialah Umno mahu rakyat faham pilihanraya kecil itu adalah tidak sah di segi moral. Ini kerana seperti kata Presiden Umno, Najib Razak, PKR cuma hendak tunjuk kuat. PKR arah wakilnya, Mohamad Fairus Khairuddin letak jawatan dan ajak Umno masuk gelanggang.

Bagi Umno itu perbuatan tidak bermoral. Namun bagi PKR tindakan itu sebenarnya adalah asas moral perjuangan. Ini kerana PKR sudah berjanji dengan rakyat, khususnya di Penanti, akan memberi perkhidmatan terbaik – Harapan Baru kata slogan kempen pilihanraya umumnya.

Bagaimanapun Fairus, wakil yang diharapkan di Penanti itu kini terbuka hasrat untuk memperbaiki diri. Beliau ingin melanjutkan pelajarannya. Beliau berjanji akan terus bersama PKR dan akan kembali ke gelanggang politik apabila tamat pengajian sarjananya.

Ini menggencatkan usaha PKR untuk berkhidmat. Maka cara paling bertanggungjawab ialah mencari ganti Fairus dan teruskan agenda perubahan dan pembaharuan. Malangnya, hujah PKR tidak dapat perhatian media massa. Yang sering diulang ialah pilihanraya kecil Penanti tidak ikut lunas demokrasi.

Untuk itu, inisiatif Aminah untuk pilihanraya kecil menghamburkan apa yang dinamakan usaha untuk merasuahnya supaya jangan bertanding oleh PKR jadi modal kempen yang amat disenangi oleh media BN. Tanpa “mematuhi arahan majikan” mereka supaya tidak beri publlisiti kepada pilihanraya kecil Penanti yang dikatakan tidak ikut lunas demokrasi, dengan penuh selera media arus perdana mempebesarkan isu berkenaan.

Apa sebab Aminah begitu marah kepada PKR hanya dia yang tahu. Atau, mungkinkah Aminah melihat ini adalah peluang terbaik untuknya jadi wakil rakyat. Media arus perdana pula nampaknya amat menyokong perjuangannya. Sebab itu agaknya beliau bersungguh-sungguh hendak mendedahkan pelbagai “kisah gelap” PKR menjelang Sabtu ini.

Taktik lempar batu sembunyi tangan oleh BN yang dipamerkan media arus perdana ini memang mudah difahami. Namun asas hujah Umno dan BN yang mengatakan pilihanraya kecil Penanti tidak mengikut lunas demokrasi agak menggelikan hati. Seruan ini diulang oleh Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin (yang tiada tempat di dalam kerajaan Umno) supaya rakyat Penanti jangan keluar mengundi Ahad ini.

Agaknya, kalau ada pemimpin parti Pembangkang (sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan) mengatakan rakyat jangan keluar mengundi dalam pilihanaraya kecil Batu Talam pada 2006, mungkin ada sahaja pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihanraya, polis dan sebagainya yang akan menggertak mengatakan itu adalah hasutan.

Betapa tidaknya, menyeru rakyat jangan melaksanakan tanggungjawabnya adalah perbuatan menghasut mereka supaya tidak mengendahkan sistem demokrasi. Tentu ada yang akan mengugut akan menahan, menyiasat dan menghadapkan mereka yang menghasut itu ke muka pengadilan.

Namun benarkah pilihanraya kecil Penanti ini tidak ikut lunas demokrasi? Sayang, seorang yang terpelajar seperti Khairy tidak tahu apa yang dibicarakan. Mungkin beliau masih terlalu muda untuk memahami mengapa seorang pemimpin Umno yang bernama Shahrir Samad letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan kemudian bertanding semula hanya untuk memalukan lawan politiknya – Mahathir Mohamad. Taruhan Shahrir tepat dan beliau dapat mengalahkan calon Umno. Khairy perlu beritahu rakyat adakah amalan itu ikut lunas demokrasi. Atau beliau akan mengatakan beliau masih terlalu kecil untuk memahami tindak tanduk Shahrir itu.

Khairy juga mungkin belum habis bersekolah apabila seorang lagi pemimpin Umno, Muhammad Muhamad Taib buat hal yang memalukan ahli Umno, rakyat Selangor dan warga Malaysia apabila beliau tertangkap cuba menyeledup wang berjuta ringgit ke Australia lebih sedekad lalu.

Bukan sahaja timbul persoalan dari mana dan bagaimana beliau perolehi wang berjuta-juta ringgit itu, tetapi memperlihatkan betapa kurang arif dan tidak cerdiknya bekas Menteri Besar Selangor itu tentang peraturan antarabangsa.

Malah lebih mengaibkan lagi ialah bagaimana beliau melalui peguamnya berhujah beliau tidak faham peraturan kewangan Australia kerana tidak faham atau kurang menguasai Bahasa Inggeris. Mungkin menginsafi episod yang memalukan ini maka Dr Mahathir kemudian melalui Perdana Menteri hari ini melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris; bimbang ada ahli Umno yang tidak tahu mengira wang berjuta ringgit dalam matawang asing dan memahami undang-undang kewangan dalam Bahasa Inggeris.

Yang harus jadi pengajaran bagi Khairy ialah, apabila Umno mula tidak berkenan dentgan Muhammad Muhammad Taib, beliau disuruh berhenti. Wajar atau tidak dia berhenti, bukan isu. Beliau telah memalukan Umno. Namun lebih memualkan lagi ialah cara penggantinya dipilih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna ketika itu diminta letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor. Begitu juga seorang ahli dewan undangan negeri selangor. Tujuannya ialah untuk memungkinkan menteri berkenaan bertanding semula sebagai Adun dan kemudian dilantik menjadi Menteri Besar.

Kuala Selangor ketika itu kubu kuat Umno. Adakah Khairy tahu bahawa parti pembangkang ketika itu tetap turun bertanding dalam pilihanraya kecil untuk menobatkan seorang menteri besar baru. Tiada boikot. Pembangkang tidak berkempen mengatakan pilihanraya kecil itu tidak ikut lunas demokrasi.

Yang lebih melucukan lagi, menteri besar baru itu kemudian itu menghadapi masalah peribadi. Pelbagai tohmaham dilemparkan kepadanhya. Ini memalukan Umno sekali lagi. Maka beliau juga disuruh berundur sebagai menteri besar. Nasib baik bagi Umno, umur kerajaan ketika itu sudah lebih separuh tempoh perkhidmatannya. Jika tidak satu pilihanraya kecil perlu diadakan.

Belajarlah dari sejarah wahai Khairy. Retorik politik kurangkanlah. Ijazah menara gading tidak menjamin tempat seseorang dalam politik. Dengarlah cakap presiden -- jika kita ikhlas rakyat akan faham dan akan menyokong kita. Bukankah Khairy orangnya yang mendabik dada mengatakan beliau ke Permatang Pauh Ogos tahun lalu untuk menguburkan Anwar Ibrahim?

Khairy ketua pemuda Umno. Dua kali dia berhujah mengenai Permatang Pauh dan dua kali mempamerkan kebebalan Umno – tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Selamat mengundi rakyat Penanti.

No comments: