Sunday, May 24, 2009

Kedudukan Ahmad Said makin jadi tanda tanya

Mat Zain Mat Isa


Setakat ini belum ada pengumuman rasmi dibuat pemimpin tertinggi Umno berhubung kedudukan Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sebelum ini pelbagai pihak, di dalam dan juga luar parti itu, mengharapkan kata putus mengenai perkara itu dihasilkan menerusi pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, dengan semua pemimpin utama parti di negeri itu beberapa hari lalu.

Pertemuan itu dikatakan melibatkan semua Ketua Umno Bahagian dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu. Ia dinanti-nantikan sebilangan pemimpin Umno negeri itu, terutama mereka yang mahu melihat perubahan ketara dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Pelantikan Hishammuddin untuk mengemudi Umno Terengganu adalah sebahagian dari penyusunan semula organisasi parti itu yang diumumkan Presidennya, Dato' Seri Najib Razak, 24 April lalu. Ia dibuat di atas asas meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno negeri itu.

Sepintas lalu, pihak yang dilihat menerima kesan kurang menyenangkan ialah Ahmad. Beliau bukan sahaja 'diturunkan pangkat' sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, malah selepas itu terdedah kepada kecaman dan kritikan lebih terbuka dari para pemimpin partinya sendiri.

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 14 Jun 2008 menggantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Bagaimana pun, parti dan kerajaan dipimpinnya tidak pernah sunyi dari digugat dan digigit, terutama oleh kalangan pemimpin sesama parti yang tidak dapat menerima pelantikan beliau menerajui kedua-dua organisasi itu.

Pelantikan Hishammuddin cuba dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan penentang Ahmad. Harapan amat tinggi disandarkan kepada pengerusi baru mereka untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Kesempatan mengalu-alukan pelantikan Hishammuddin mengemudi Umno Terengganu malah tidak disesiakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato' Rosol Wahid. Sekurang-kurangnya dalam dua episod tegang sebelum ini, iaitu dalam kemelut pelantikan menteri besar pada Mac 2008 dan isu usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Ahmad, pertengahan April lalu, nama Rosol agak tertonjol di kalangan Adun-Adun BN lain.

Bekas anggota Exco negeri itu telah dikenali menerusi peranan utamanya sebagai jurucakap kepada kumpulan Adun-Adun BN yang dikatakan menentang Ahmad sepanjang pergolakan dalaman Umno Terengganu sebelum ini.

Tanpa tangguh, Rosol terus membongkar kepincangan kepimpinan sebelum ini. Seraya menyifatkan pelantikan Hishammuddin sebagai amat wajar, Rosol mengharapkan kepimpinan baru Umno negeri dapat memberikan hak sewajarnya kepada setiap Adun bagi mengurus dan memajukan kawasan masing-masing.

"Pelantikan (Hishammuddin) ini akan memberi harapan baru kepada Adun-Adun yang dinafikan hak mereka termasuk melibatkan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak dirujuk kepada Adun, begitu juga Pengerusi Penyelaras DUN dan Unit Bestari," katanya.

Pendedahan itu belum cukup memuaskannya. Rosol turut mendakwa tiada aktiviti memperkasakan Umno dilaksanakan di bawah Pengerusi sebelum ini, satu belasahan yang nyata ditujukan kepada Ahmad. Justeru, beliau melihat pelantikan Hishammuddin sebagai jalan ke arah memperkasakan semula Umno negeri.

Bagaikan ada kesepakatan, skrip serupa turut diulangi Idris keesokannya. Adun Jertih itu turut berharap pelantikan Hishammuddin akan menyelesaikan isu pelantikan semua Adun sebagai pengerusi penyelaras di DUN masing-masing.

Beliau malah secara totok mendakwa Ahmad telah menafikan hak Adun-Adun BN dalam pelantikan JKKK.

"Kuasa Adun untuk melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dinafikan hak oleh Ahmad juga mampu ditangani Hishammuddin dan jika dua isu utama itu diselesaikan, kita percaya pentadbiran parti akan menjadi lebih baik dan tersusun,"ulas Idris, senada dengan Rosol.

Sebab itu apabila lebih seminggu lalu Hishammuddin memaklumkan akan mengadakan perjumpaan bagi mengetahui secara terperinci dan jelas masalah sebenar yang berlaku di antara para pemimpin Umno Terengganu, sebilangan mereka meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan.

"Saya selaku pengerusi Umno Terengganu akan memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengatasi konflik politik di Terengganu. Saya percaya, jika mereka sayangkan Umno Terengganu, mereka juga harus sama-sama berbincang dengan ikhlas,"kata Hishammuddin, 13 Mei lalu.

Secara khusus beliau turut mengakui perjumpaan itu memang ada hubungkait dengan desas-desus pertukaran menteri besar, termasuk beberapa siri desakan oleh sekumpulan Adun BN sendiri.

"Saya tidak berhak untuk menukar menteri besar, tetapi saya hendak dengar dahulu apakah masalah-masalah yang dihadapi dalam politik Terengganu,"jelasnya mengenai perjumpaan itu.

Malangnya, dalam kenyataan kepada media selepas perjumpaan tersebut, Hishammuddin memilih untuk tidak mengumumkan apa yang diharapkan. Beliau sekadar menyebut pertemuan dengan para pemimpin penting Umno Terengganu itu sebagai titik permulaan bagi menyelesaikan krisis politik yang berlarutan antara mereka.

Katanya, kedua-dua pihak yang bertelagah dalam Umno Terengganu sepakat bahawa sebarang persepsi mengenai perpecahan dalam parti itu perlu dihapuskan. Hishammuddin juga menekankan bahawa kesemua yang hadir bersetuju untuk akur kepada pucuk pimpinan parti dan mengutamakan masa depan rakyat dan negara.

Penjelasan Hishammuddin itu ternyata gagal menjelaskan tanda tanya yang bersarang di fikiran rakyat Terengganu sejak sekian lama. Apakah nasib dan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar yang sepatutnya menjadi fokus utama perjumpaan penting itu belum diputuskan?

Sekali lagi Rosol cuba melontarkan 'isyarat' bagi memecahkan kebuntuan dan tanda tanya itu. Dalam kenyataannya disiarkan akhbar tempatan Terengganu, Jumaat (22 Mei), Rosol mendakwa tanda tanya kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Meski pun tidak mengulas panjang dan menyebut keputusan mengenai perkara itu terpulang kepada Hishammuddin, Rosol sempat menyelitkan keyakinannya bahawa keputusan yang bakal diambil itu akan memberi kesan positif kepada politik negeri.

"Perjumpaan itu amat baik dan saya yakin ia akan memberi perkembangan positif terhadap perpaduan dan kekuatan Umno di negeri ini. Dato' Seri (Hishammuddin) juga memberi keyakinan untuk memastikan masalah diselesaikan segera bagi menghadapi pilihan raya umum,"katanya.

Apakah yang beliau maksudkan sebagai 'positif' itu rasanya sudah tidak sukar difahami. Jika sebilangan kenyataannya sebelum ini diambilkira, maka satu-satunya penyelesaian positif bagi Rosol dan lain-lain Adun yang sealiran dengannya ialah agar Ahmad digantikan dengan pemimpin lain.

Apakah itu bermakna kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar bakal berakhir tidak lama lagi? - mks._

No comments: