MALAYSIA KINI
Majlis Peguam hari ini menggesa kerajaan mengkaji secara serius Akta Hasutan 1948 dengan matlamat memansuhkan undang-undang itu sepenuhnya.
Ketika memberikan respons kepada dakwaan hasutan terhadap pengerusi DAP Karpal Singh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini, presidennya yang baru dipilih, Ragunath Kesavan berkata akta itu telah menyekat dengan teruk kebebasan asasi sivil orang awam.
"Majlis Peguam terkejut dan kurang senang dengan tindakan Peguam Negara mendakwa Karpal Singh di bawah Akta Hasutan kerana kenyataannya berhubung isu pemecatan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
"Amat jelas sekali bahawa Karpal Singh hanya melahirkan pendapatnya, tidak pernah beliau menyuarakan rasa tidak hormat, atau mencabar institusi raja menerusi apa carapun. Ini pastinya dibenarkan di bawah Perlembagaan dan tidak boleh dianggap menghasut," katanya.
Sebarang percubaan untuk menyekat pendapat umum dengan menggunakan akta tersebut adalah tindakan mundur yang bertentangan dengan prinsip demokrasi, kata Ragunath, yang menggesa supaya tuduhan itu segera ditarik balik.
"Kami memandang berat siri tindakan pendakwaan baru-baru ini terhadap mereka yang mengamalkan kebebasan bersuara dan meminta dihentikan segera gangguan seumpama itu.
"Kami menggesa kerajaan menunjukkan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang dan proses demokrasi dengan menggalakkan perbincangan terbuka mengenai isu-isu yang penting kepada masyarakat Malaysia," ujarnya.
Peguam kanan Karpal Singh hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan menghasut.
Beliau didakwa melafazkan kata-kata menghasut itu pada satu sidang media berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini antara jam 12 dan 12.30 tengahari 6 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment