Tuesday, March 17, 2009

Khairy bersalah, Khir Toyo bebas

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini didapati bersalah melanggar peraturan kempen pemilihan parti.

Beliau bagaimanapun hanya diberi amaran dan masih layak untuk bertanding jawatan itu pada pemilihan minggu depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di sini, sebentar tadi.

Katanya, Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda didapati bersalah di bawah Perkara 10.1, Tataetika Ahli Umno.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengumumkan 14 lagi ahli Umno yang didapati bersalah termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali yang akan sepatutnya bertanding jawatan Timbalan Presiden bagaimanapun telah hilang kelayakan bertanding kerana didapati bersalah di bawah Perkara yang sama.

Ditanya sebab Khairy hanya dikenakan amaran manakala Mohd Ali hilang kelayakan bertanding sedangkan kesalahan mereka jatuh di bawah Perkara yang sama, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, jenis perlakuan kesalahan yang dilakukan mereka adalah berbeza.

"Mereka tidak ada kes yang sama. Apa yang dilakukan oleh ejen mereka juga berbeza.

"Contohnya antara rasuah makan-makan atau rasuah wang, sudah pasti kesalahan dan hukuman itu juga berbeza walaupun kes itu dalam Perkara Tataetika yang sama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lagi calon Ketua Pemuda iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula didapati tidak bersalah.

Pertandingan bagi merebut Ketua Pemuda Umno pada 25 Mac ini membabitkan tiga calon termasuk Khairy, Dr Mohamad Khir dan Datuk Mukhriz Mahathir.

No comments: