MSTAR ONLINE
Jantung tiruan yang lebih tahan serta murah mengikut model sistem pernafasan lipas sedang dibangunkan oleh sekumpulan ahli sains India untuk tujuan komersial.
Sepasukan 10 anggota di Institut Teknologi India (IIT) di Bengal Barat, mengambil masa hampir tiga tahun untuk menghasilkan jantung tiruan itu, lapor Bernama.
"Lipas mempunyai 13 ruang jantung, di mana cecair dipam dalam kaedah berurutan, berbeza daripada jantung manusia yang berfungsi dengan sistem satu ruang.
"Model kami berasaskan kepada sistem lipas, di mana kami meningkatkan tekanan dalam langkah yang lebih kecil.
"Sungguhpun apabila satu ruang gagal berfungsi, seseorang itu masi terus hidup.
"Model ini tidak menekan komponen lain (elemen pengepaman) dan terdapat kurang tekanan pada sel darah," Prof Sujoy Guha, yang mengetuai pasukan itu, dipetik berkata.
Tiga belas ruang pada jantung lipas membolehkan seranggga itu terus hidup meskipun jika satu ruang gagal berfungsi, namun perkara itu tidak berlaku kepada manusia, tambahnya.
Versi India itu dianggap sebagai model yang lebih canggih berbanding jenis komersial kini yang bergantung kepada satu ruang.
Jika satu-satunya ruang itu gagal berfungsi, ia boleh mengakibatkan kematian pesakit.
Menurut agensi berita itu lagi, pakar pelbagai bidang - jurutera perubatan, ahli biologi dan ahli sains material - turut serta dalam membangunkan peranti mekanik itu.
"Ia satu kemajuan tetapi merupakan urusan yang kompleks. Tempoh tiga tahun lagi diperlukan untuk memasarkan produk berkenaan.
"Sistem itu kini masih dalam percubaan menggunakan haiwan dan akan diuji ke atas manusia dalam setahun lagi," kata Guha, dari fakulti teknologi sains perubatan di IIT Kharagpur, seperti dilaporkan.
Jantung tiruan itu dianggarkan berharga RM7,700, kira-kira 30 kali lebih murah berbanding jantung tiruan yang ada di pasaran sekarang.
No comments:
Post a Comment