Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI 2 PETANG]
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pagi ini dikenakan tuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bulan lalu.
Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Ini kali kedua Karpal berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan.
Kes beliau yang disebutkan di Mahkamah Sesyen akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Kes ini muncul selepas lapan orang dihadapkan di Mahkamah Sesyen sejak Jumaat lalu berhubung tuduhan menghantar komen yang jelik ke laman web pejabat Sultan Perak dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1958 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Salah seorang daripada mereka sudah pun mengaku bersalah.
KENYATAAN MENGHASUT
Berdasarkan tuduhan dibacakan, Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dalam satu sidang media berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lalu.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)B Akta Hasutan 1948.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Karpal dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat bersama transkrip sidang media Karpal tersebut yang didapati mengandungi kenyataannya untuk mendakwa Sultan Perak.
Karpal mendakwa Sultan Perak bertindak di luar bidang kuasanya dan membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.
Semasa prosiding hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Kamaludin Mohd Said turut memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi supaya mahkamah berkenaan menetapkan tarikh perbicaraannya.
Karpal tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim kemudiannya memutuskan kes itu disebut semula manakala tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.
PASUKAN 12 PEGUAM
Karpal yang juga seorang peguam mewakili diri beliau pada prosiding hari ini.
Bagaimanapun seramai 12 yang lain menjadi peguam pembantu beliau termasuk empat anaknya iaitu Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh Deo, Ram Karpal Singh dan Sangeep Kaur. Peguam lain adalah RSN Rayer, Sakaran Nair, Malik Imtiaz, M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K A Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.
Menjelaskan tentang soal pemindahan kesnya ke Mahkamah Tinggi, Karpal berkata, berbanding jika dibicarakan di Mahkamah Sesyen, kes itu hanya boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan.
"Saya rasa perkara ini perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi yang mana ia adalah perkara serius.
"Ia adalah perkara yang betul (memindahkan kes)," katanya.
Ditanya keputusannya untuk membela diri sendiri di mahkamah hari ini, Kapral berkata, beliau sememangnya sering membela diri sendiri dalam kes-kes sebelum ini.
"Tidak ada salahnya membela diri saya sendiri tapi saya akan dibantu peguam.
"Saya bersedia menghadapi tuduhan ini dan ini adalah kali kedua saya didakwa di bawah Akta Hasutan," katanya.
Sementara itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata, beliau percaya yang tindakan mendakwa Karpal hari ini adalah usaha kerajaan untuk 'memburu' pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
"Dalam mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin Pakatan, saya memberitahu Lim Kit Siang tentang usul terhadap Gobind (penggantungan sidang selama setahun) dengan mengetahui cara prosedur itu dijalankan.
"Saya percaya mereka sedang 'memburu' pemimpin pembangkang kerana selepas beberapa jam kemudian, kita dengar pula tentang dakwaan ini.
"Kita harus bersedia dan kita akan mengadakan mesyuarat lagi hari ini," katanya.
Antara pemimpin-pemimpin Pakatan yang turut hadir di mahkamah adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tian Chua, Teresa Kok, Dr Tan Seng Giaw dan Ronnie Liu.
No comments:
Post a Comment