Oleh S Anand Kumar
8,000 pengusaha bas sekolah batal cadangan mogok dua minggu
KUALA LUMPUR: Pengguna pengangkutan awam di seluruh negara mungkin terpaksa membayar tambang lebih tinggi mulai April ini, berikutan keputusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang pada dasarnya bersetuju meluluskan kenaikan 30 peratus surcaj tambang oleh pengusaha sektor berkenaan.
Keputusan itu dicapai hasil pertemuan antara pihak kementerian dengan lebih 200 wakil pengusaha pengangkutan awam, minggu lalu.
Berikutan itu, lebih 8,000 pengusaha bas sekolah yang sebelum ini mengancam untuk membekukan perkhidmatan mereka selama dua minggu bermula Isnin ini jika tuntutan untuk menaikkan tambang tidak dipenuhi, bersetuju untuk membatalkan hasrat mereka.
Bagaimanapun, kenaikan kadar tambang yang dipersetujui itu dijangka tidak setinggi tuntutan asal yang dikemukakan oleh pengusaha bas ekspres, bas henti-henti, bas sekolah dan teksi iaitu antara 60 hingga 100 peratus.
Kali terakhir tambang pengangkutan awam disemak ialah pada 2005, ketika harga subsidi diesel pada masa itu ialah 65 sen berbanding RM1.43 sen seliter sekarang.
Bernama melaporkan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar dijangka mengumumkan kadar tambang baru bulan depan.
Noh akan mendapatkan maklum balas Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membentang kepada Kabinet untuk kelulusan, dijangka bulan ini.
"Jika ada kenaikan, kita akan pastikan ia tidak bebankan penumpang. Kita juga harap kualiti pengangkutan awam, keselamatan dan sebagainya akan bertambah baik," kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Markiman Kobiran.
Markiman berkata, kertas cadangan semakan tambang yang disediakan LPKP sudah diserahkan kepada Noh, awal bulan lalu.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Chee Ah Tey memberitahu Berita Minggu, ahli persatuan membatalkan hasrat membekukan perkhidmatan mereka selepas kementerian berkenaan pada dasarnya bersetuju meluluskan tuntutan 30 peratus surcaj itu.
Bagaimanapun, katanya, ahli persatuan belum menaikkan tambang mereka kerana surcaj 30 peratus itu masih belum mendapat kelulusan Kabinet dan mereka akan menanti keputusan kerajaan berhubung permohonannya.
"Kami difahamkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah mengemukakan permohonan PPBSSM berhubung surcaj 30 peratus untuk perhatian Kabinet dan kini dalam peringkat perbincangan.
"Sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan atau "lampu hijau" daripada kerajaan berhubung surcaj 30 peratus itu... bagaimanapun kami sabar menanti keputusan itu dan mematuhi undang-undang dengan tidak menaikkan tambang bas sekolah ketika ini," katanya.
Awal bulan lalu, PPBSSM mengugut membekukan perkhidmatan selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi kerajaan.
Chee berkata, ketika ini pengusaha bas sekolah perlu membayar RM1.43 bagi seliter diesel selain dibebankan peningkatan harga bateri, minyak pelincir, tayar, alat ganti dan gaji pemandu sementara menunggu pelaksanaan kadar surcaj berkenaan.
Pengusaha kenderaan awam mempunyai asas menuntut kenaikan tambang, walaupun harga bahan api kini rendah dan stabil sekitar AS$50 setong.
Di Lembah Klang, lebih 500,000 orang menggunakan pengangkutan awam sehari.
No comments:
Post a Comment