Sunday, February 22, 2009

Presiden MIC: Subramaniam tidak cabar Samy Vellu

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subrmaniam, antara pemimpin yang pernah diramal akan turun gelanggang, memutuskan untuk tidak mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu pada pemilihan presiden parti itu April ini.

Beliau yang pernah mencabar Samy Vellu dua dekad yang lalu, mengambil keputusan itu dengan mempertimbangkan perkembangan "tenang" dalam MIC buat masa sekarang.

Ia diumumkan oleh beliau di ibu negara semalam.

Subramaniam, bekas timbalan menteri berkata, beliau pernah bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden sebelum ini tetapi mahu mengumumkan secara terbuka bahawa tidak akan mencabar Samy Vellu, Presiden MIC paling lama berkuasa, kali ini.

Samy Vellu tidak menurunkan Subramaniam sebagai calon pilihan raya umum pada 2004 dan 2008 selain meletakkan Datuk G. Palanivel untuk menewaskannya dalam pemilihan jawatan timbalan presiden tiga tahun lalu.

Malah kata Subramaniam, beliau juga belum memutuskan sama ada mahu bertanding jawatan-jawatan lain tahun ini.

Pemilihan jawatan-jawatan lain akan diadakan pada tarikh yang berbeza - kemungkinan September ini.

Penamaan calon bagi jawatan Presiden MIC diadakan pada 22 Mac manakala pengundian dijadualkan 12 April.

Penetapan tarikh-tarikh itu diumumkan minggu lalu.

Setakat ini hanya bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniaappan mengumumkan mahu mencabar Samy Vellu.

No comments: