Thursday, February 19, 2009

MIC Merbok akur calon pilihan pucuk pimpinan BN

Abdul Rahim Sabri


Kepimpinan MIC Merbok akur dengan pemilihan calon oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau, walaupun dari Umno.

Pengerusinya, A Arumugam berkata, pihaknya berharap calon tersebut biarlah dari MIC seperti sejak empat penggal yang lalu.

"Pilihan pertama, sebaik-baiknya, adalah calon keturunan India tempatan, yang boleh berkhidmat untuk rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Arumugam diminta mengulas desakan Umno bahagian Merbok yang mahukan kerusi tersebut dipulangkan kepada Umno dalam pilihanraya kecil 7 April ini.

Kerusi Bukit Selambau diwakili oleh MIC sejak empat penggal lalu walaupun pengundi kaum India di situ cuma 30 peratus, berbanding pengundi Melayu yang melebihi 50 peratus.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon BN dari MIC, S Krishnan kalah kepada calon bebas V Arumugam yang kemudiannya menyertai PKR.

Arumugam meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau awal bulan ini.

No comments: