Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN
PETALING JAYA: Umno dan PAS Perak sehingga hari ini masih belum menyenarai pendek calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Ramly Zahari, senarai nama calon-calon yang sudah menawarkan diri akan dibincangkan dalam mesyuarat badan perhubungan negeri dalam tempoh dua minggu akan datang.
“Sekarang kita masih di peringkat membuat bancian mengenai calon-calon yang sudah menawarkan diri. Kita mahu pilih calon yang disukai dan diminati oleh rakyat dan yang lebih penting dia (calon) mesti anak tempatan,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Ketika ditanya siapakah calon-calon yang telah menawarkan diri dan adakah nama Senator Tan Sri Jins Shamsuddin berada dalam senarai tersebut, Ramly bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Media suka buat spekulasi... siapa calon akhir akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional.
"Kami (Umno) di peringkat negeri hanya mencalonkan nama-nama yang sesuai. Kita tunggu pengumuman itu nanti,” ujarnya.
Rabu lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak kurang daripada 10 nama disenaraikan sebagai calon Umno bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.
Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April.
Sementara itu, menurut Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustaffa Ali, masih terlalu awal untuk membicarakan soal calon ketika ini.
“Masih terlalu awal. Badan Perhubungan PAS Negeri (Perak) masih belum memberi senarai nama kepada kami (Pas pusat). Saya tidak tahu berapa calon yang sudah menawarkan diri.
“Mereka (Pas negeri) mungkin akan serahkan senarai nama calon selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.
Jelas beliau, perbincangan mengenai calon yang sesuai bagi mengisi kerusi berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat parti peringkat pusat awal bulan depan.
“Calon anak tempatan akan jadi taruhan terbaik. (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Nasharuddin (Mat Isa), akan mengetuai jentera pilihan raya Pas dan saya akan menjadi timbalan beliau sama seperti pilihan raya kecil di Terengganu yang lalu.
“Kami sudah bersiap sedia. Kami yakin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan seperti dalam pilihan raya yang lalu,” katanya.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan ini akibat sakit jantung.
No comments:
Post a Comment