Friday, February 6, 2009

Boleh berlaku di tiga negeri lain - Hishammuddin

UTUSAN ONLINE


KLUANG - Perkembangan terkini politik yang berlaku di Perak tidak mustahil boleh menular ke tiga negeri lain yang masih dikuasai pakatan pembangkang iaitu Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkembangan itu berlaku disebabkan trend rakyat yang sedar tentang kejujuran dan keikhlasan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga dan memperjuangkan kepentingan mereka.

Sambil melahirkan rasa gembira, beliau yang juga Ketua Pergerakan bPemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda BN mahu setiap anggota dan pemimpin BN Perak agar memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut.

''Wakil-wakil rakyat kita perlu mendekati rakyat dan belajar daripada kesilapan yang berlaku serta atasi segala kekurangan yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Bahagian Semberong di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Paloh di sini malam tadi.

Hishammuddin mengulas tindakan tiga ADUN pakatan pembangkang iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang kini menjadi wakil rakyat bebas.

Jamaluddin dan Mohd. Osman sebelum ini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Yit Foong merupakan wakil rakyat DAP.

Selain itu, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR telah kembali semula kepada UMNO.

No comments: