Thursday, February 5, 2009

BN mengadap Sultan Perak esok

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi bahawa parti itu mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk tiga ADUN Bebas yang menyatakan sokongan terhadap BN akan turut serta dalam pertemuan itu.

"BN Perak akan mengadap Sultan Perak esok, tapi kita belum pasti lagi bila masanya kerana masih menunggu isyarat daripada pihak istana," katanya.

Pertemuan tersebut akan diketuai Pengerusi BN Perak yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pucuk pimpinan BN belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar yang baru.

"Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini," katanya.

BN Perak yang kini mempunyai cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ADUN Pakatan Rakyat PR meninggalkan parti masing-masing.

ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua minggu kembali menyertai BN.

Sementara itu tiga yang lain bertindak menjadi ADUN Bebas ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Mengulas mengenai perkembangan yang berlaku di Perak, Ramly berkata beliau berharap Pakatan Rakyat menerima apa jua keputusan berdasarkan undang-undang.

"Kita harap mereka menerima apa yang berlaku kerana sebarang tindakan harus mengikut undang-undang.

"Jangan pula selepas ini ada yang bertindak bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Sehingga pukul 8.45 malam ini, pihak istana belum mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada pembubaran DUN Perak diperkenankan.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, sekiranya pilihan raya negeri tidak diadakan, penubuhan kerajaan negeri baru boleh berlaku melalui dua cara.

Pertamanya, melalui undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan DUN dan cara kedua ialah Sultan memberi perkenan kepada pelantikan Menteri Besar yang baru dari kalangan anggota yang dipercayai baginda mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota dewan.

No comments: