Jimadie Shah Othman
Bukan sahaja pejuang bahasa Melayu membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebaliknya pejuang bahasa-bahasa lain juga turut menentangnya.
Yayasan Tamil Malaysia yang hadir dalam perhimpunan pelancaran kempen memansuhkan dasar kontroversi itu di ibu kota hari ini berkata, PPSMI yang diperkenalkan itu tidak menguntungkan kaum India.
"Dasar ini tidak bagus untuk kaum India. Seramai 60 peratus kaum India bersekolah di sekolah-sekolah Tamil, 90 peratus daripada mereka ini tinggal di luar dan pinggir bandar.
"Dasar ini (PPSMI) hanya disokong oleh segelintir kelompok yang menggunakan bahasa Inggeris sahaja," kata presidennya K Uthayasoorian selepas perlancaran program anti-PPSMI itu.
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) petang ini memulakan gerakan bantahan jalanan di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - lokasi lazim gerakan bantahan era reformasi 1998.
Ia dihadiri pelbagai tokoh bahasa dan sastera Melayu, termasukkah bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan.
Ditemui Malaysiakini, Uthayasoorian berkata, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru juga tidak bersedia dengan kaedah pengajaran itu.
Beliau yang mendakwa kehadirannya bagi menuntut hak daripada kerajaan, berkata, Yayasan Tamil juga datang untuk berunding dengan GMP bagi memikirkan strategi bersama menuntut pemansuhan PPSMI.
Beliau tidak menyangkal kemungkinan akan turut menyertai gabungan itu.
Sementara itu, aktivis Dong Zhong menempelak kerajaan yang tidak mempedulikan bantahan orang ramai yang dibuat dengan pelbagai cara.
"Dong Zhong sudah cetak dan hantar lebih 100,000 poskad kepada kerajaan pada tahun lepas berhubung perkara ini, tetapi tidak ada apa yang berlaku pun," kata wakilnya Chan Tuck Loong.
Ditanya sama ada Dong Zhong akan memberikan sokongan terhadap protes besar-besaran yang dirancang GMP pada awal Mac ini di hadapan Istana Negara, Chan berkata, pihaknya menyokong semua program yang bagi mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran di sekolah.
Bagaimanapun, katanya, bentuk penyertaan lanjut Dong Zhong bersama GMP akan diputuskan pihak atasan organisasi itu.
Aktivis teater dan pelakon terkenal Khalid Salleh memberitahu Malaysiakini, hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan protesnya kerana keadaan "sudah terdesak sangat".
Katanya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis.
"Kalau tengok dalam kad pengenalan pun, tidak ada tulis Melayu, yang ada warganegara Malaysia....
"Berapa tahun Malaysia wujud? 51 tahun. Tetapi bangsa Melayu dan bahasa Melayu sudah ada ratusan tahun sebelum itu."
Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".
Kerana itu, katanya, pemain teater sepertinya perlu menyuarakan perkara itu dalam karya masing-masing seperti yang dilakukannya sejak tahun 1970-an lagi.
Pada 7 Mac ini, GMP merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung perkata itu.
No comments:
Post a Comment