Oleh G.MANIMARAN
KUALA TERENGGANU: Ketiadaan Mursyidul Am PAS, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat di Stadium Negeri di sini ketika proses penamaan calon pagi ini mencetuskan persoalan di kalangan sesetengah pihak berhubung sokongan beliau terhadap calon parti itu yang bertanding.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ada menyertai program parti itu menjelang hari penamaan calon pagi tadi.
Cuma beliau tidak bersama di dalam Stadium Negeri ketika proses penamaan calon berlangsung disebabkan keadaan yang terlalu sesak dengan penyokong seiringan.
"Beliau ada di Kuala Terengganu hari ini... malah pagi tadi beliau menyertai sembahyang hajat sempena hari penamaan calon.
"Cuma kerana uzur beliau tidak dapat menyertai perarakan dan berada dalam stadium," katanya.
Malah menurut Nasharuddin, Nik Aziz akan mengambil bahagian dalam ceramah perdana pertama anjuran Pakatan Rakyat malam ini.
Ia akan turut disertai Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Solat hajat dilakukan di Surau Taman Permin Jaya, Jalan Pusara pukul 8 pagi tadi sebelum perarakan menuju ke Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.
Kira-kira pukul 9.20 pagi, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endot memasuki pusat penamaan calon diiringan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.
Sebelum ini, Nik Aziz menyatakan sokongan agar Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Pada 1 Januari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohd. Abdul Wahid Endut, Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam sebanyak lima penggal sebagai calon parti itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya melihat ia sebagai pertandingan yang amat penting.
"Untuk bukan sahaja peringkat nasional, terkini untuk menambahkan kekuatan Pakatan Rakyat termasuklah untuk pilihan raya umum akan datang.
Katanya, peluang memang baik kerana Wahid sudah ada kekuatan sendiri untuk menghadapi cabaran kali ini.
Mengenai majoriti, Ahli Parlimen Marang itu berkata: "Kita mengharap untuk menang, kalau majoriti besar adalah lebih baik,"
No comments:
Post a Comment