Isnin, 13 Oktober 2008

Sidang Parlimen bermula, Anwar menjadi tumpuan

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Parlimen bersidang hari ini selepas berehat lebih sebulan dengan fokus menjadi tumpuan ke arah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa perkembangan yang berlaku sejak sebulan yang lalu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan menyampaikan ucapan perbahasan selaku Ketua Pembangkang hari ini, yang difahamkan akan mengambil masa sehari suntuk.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, Anwar akan menyentuh pelbagai aspek yang tersurat dan tersirat dalam ucapannya hari ini.

"Ucapan beliau (Anwar) akan memakan masa sehari suntuk, sehingga petang tetapi tidak sehingga esok)," kata beliau kepada mStar Online.

Ketika desas-desus mengenai pembentukan kerajaan pusat oleh Pakatan Rakyat timbul semula, Saifuddin berkata, ucapan tersebut perlu dilihat secara menyeluruh untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR.

Bagaimanapun anggota Dewan Rakyat menjelaskan tidak mungkin ada usul undi tidak percaya secara langsung ke atas kepimpinan kerajaan iaitu Abdullah pada minggu ini.

Ucapan Anwar akan menyentuh pelbagai isu semasa dan keperluan pembentukan kerajaan baru, katanya.

Ucapan Bajet 2009 akan diluluskan selepas dibahaskan selama empat hari di peringkat dasar dan kemudian peringkat jawatankuasa selama empat hari ini.

Justeru, mStar Online difahamkan tidak mungkin ada sebarang usul tidak percaya Perdana Menteri minggu ini.

Pakatan Rakyat telah meletakkan sasaran membentuk kerajaan pada 16 September lalu.

Semalam, Anwar ketika ditemui wartawan berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas mengenai tarikh baru yang ditetapkan bagi Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya pemberita, beliau berkata: "Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai... kita akan menyaksikan perubahan".

"Kalau rakyat mahukan perubahan... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan," kata beliau semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Di Kota Bharu Jumaat lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kerajaan baru akan ditubuhkan sebelum Hari Raya Aidiladha Disember ini, selepas gagal menubuhkan kerajaan pusat pada 16 September lalu.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2009 pada 29 Ogos lalu.

Tiga hari sebelum pembentangan Bajet 2009, Anwar kembali ke Parlimen dengan memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Persidangan ditangguhkan berikutan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Dua minggu selepas membentangkan Bajet 2009, Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah mengambil alih portfolio masing-masing.

Najib kini merupakan Menteri Kewangan manakala Kementerian Pertahanan diketuai Abdullah.

Pertukaran portfolio itu juga seiring dengan pelan peralihan pucuk kepimpinan Umno.

Sidang kali ini juga yang pertama sejak Abdullah pada minggu lalu mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Yang menarik, dua minggu lalu salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) mengumumkan ia keluar perikatan tersebut.

Kini ia bertindak sebagai parti Bebas di Dewan Rakyat.

Dengan perkembangan itu, bilangan wakil rakyat BN menurun dua menjadi 138, Bebas pula tiga dan yang baki keanggotaan parti komponen Pakatan Rakyat.

Malah, Dewan Rakyat juga dilihat akan menjadi tumpuan dengan isu tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ketika Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh, Teresa Kok ditahan di bawah ISA awal bulan lalu, pelbagai pihak meminta undang-undang tersebut dimansuhkan.

Tiada ulasan: