Rabu, 8 Oktober 2008

Siasat menyeluruh dakwaan penderaan seksual wanita Penan
BERNAMA


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan mahu siasatan polis yang lengkap dijalankan berhubung laporan bahawa wanita Penan didakwa menjadi mangsa penderaan seksual oleh pekerja dari kem pembalakan di Baram, bahagian Miri.

Beliau berkata, dakwaan itu sangat serius kerana ia memberi publisiti yang buruk kepada Sarawak dan juga negara, dan penjenayah terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan sekiranya dakwaan penderaan seksual itu, termasuk merogol pelajar perempuan Penan yang menumpang kenderaan dari penempatan mereka di pedalaman untuk ke sekolah berasrama di Long Lama dan Long San, terbukti benar.

"Biarlah polis menjalankan siasatan penuh. Kebenaran mengenai perkara ini perlu dipastikan supaya negara kita tidak dilihat seperti sebuah negara koboi. Memanglah perkara seperti ini ada berlaku dan sesiapa jua yang berbuat salah perlu dihadapkan ke pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo bagi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri yang akan diadakan di sini dari 3 Nov hingga 30 Okt ini.

"Ini adalah satu jenayah tetapi kita perlu mempunyai bukti yang betulbetul kukuh kerana ia memberi gambaran yang amat buruk terhadap imej negara," katanya ketika mengulas dakwaan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Bruno Manser Foundation (BMF), mengenai dakwaan penderaan seksual terhadap wanita Penan dalam daerah Baram.

Kumpulan dari Switzerland itu mendakwa pekerja dari dua buah syarikat pembalakan yang berpusat di Miri menjadikan wanita Penan di beberapa penempatan di sekitar kawasan operasi syarikat itu, sebagai mangsa mereka, selain mensasarkan pelajar wanita yang bergantung kepada khidmat pengangkutan syarikat itu untuk ke sekolah.

Perjalanan itu mengambil masa sehingga seminggu sekiranya mereka berjalan kaki dari kampung masingmasing.

Dakwaan terbabit, yang disiarkan secara dalam talian oleh BMF yang berpusat di Switzerland, turut menyebut bahawa terdapat beberapa insiden wanita dan pelajar perempuan Penan yang hamil akibat penderaan itu, manakala pekerja pembalakan juga berkelakuan seperti samseng dan membawa senjata api untuk menakutnakutkan komuniti berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu barubaru ini menafikan dakwaan itu dan menganggap dakwaan NGO itu sebagai tidak berasas.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh dipetik sebagai berkata polis akan menyiasat sekiranya terdapat kebenaran dalam laporan itu.

Mohmad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah perlu melaporkan terus kepada polis, bukan menyiarkannya dalam Internet memandangkan perbuatan itu hanya akan menyulitkan penyiasatan.

Tiada ulasan: