Semua manusia adik-beradik - Mursyidul Am
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.
"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.
"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.
Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.
"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.
"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.
"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.
Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.
"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.
Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".
Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.
"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan