Khalid: Kuil diroboh MPAJ akan dipindah ke lokasi sesuai
MSTAR ONLINE
SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa Kuil Sri Mahakaliamman yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bulan lalu bagi membolehkan rumah ibadat itu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengakui tindakan merobohkan kuil berkenaan tidak selari dengan prinsip kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu, yang mahu semua rumah ibadat dihormati dan diberi pengiktirafan sewajarnya.
Kuil berusia 19 tahun itu yang dibina di kawasan tanah rizab telah dirobohkan oleh MPAJ pada 9 September lalu, menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat India di seluruh negara.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Selangor itu berkata, kerajaan negeri akan memaklumkan kesemua majlis tempatan tentang pentingnya ketertiban dan sensitiviti apabila berurusan dalam soal rumah ibadat.
Khalid menambah, kerajaan negeri juga akan meneliti punca yang membawa kepada tindakan MPAJ merobohkan kuil berkenaan.
Malah, katanya, tindakan juga akan diambil ke atas pegawai yang mengarahkan tindakan merobohkan kuil tersebut.
Timbalan Presiden, Hamid Hussain yang dikatakan telah mengarahkan tindakan itu kini digantung kerja selama seminggu menanti siasatan susulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan