SHAH ALAM - Punca penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH179 dari Kuala Lumpur ke Colombo semalam berpatah balik adalah disebabkan daripada gangguan seorang penumpang yang mabuk.

Menurut kenyataan rasmi MAS, penumpang tersebut cuba mencetuskan suasana yang tidak tenteram terhadap anak-anak kapal MAS sejurus selepas penerbangan itu bermula.

“Oleh kerana saiz penumpang itu besar, penumpang-penumpang lain terpaksa membantu anak-anak kapal MAS daripada diganggu oleh penumpang mabuk berkenaan.

“Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mereka di atas kapal, juruterbang terpaksa membuat keputusan untuk berpatah balik. Sejurus tiba di KLIA, penumpang tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat MAS MH179 berpatah balik]

Pesawat berkenaan dilaporkan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.