Rabu, 6 Mei 2015

Pemilihan PAS - Nak berdebat atau tidak?

MALYSIAKINI



 
 
 
Cadangan supaya calon untuk jawatan utama dalam PAS berdebat menjelang muktamar bulan depan mendapat reaksi berbeza kepada tiga penganalisis politik tempatan.

Bagi Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mustafa Ishak berkata, perdebatan antara kumpulan proulama dan pro-Pakatan Rakyat dalam PAS tidak perlu kerana nasib pemimpin parti itu terletak di tangan ahli.

“Saya rasa dasar serta pendirian kedua-dua belah puak ini (prulama dan pro-Pakatan) sudah jelas. Ahli-ahli PAS tahu, dan masyarakat luar juga tahu bagaimana pendekatan serta hala tuju masing-masing," katanya.

Justeru, kata Mustafa (gambar), perdebatan seperti dicadangkan tidak perlu diadakan.

Menurut pensyarah di Universiti Utara Malaysia itu masa depan PAS terletak di tangan ahli parti berkenaan.

“Mereka (ahli PAS) kena pilih siapa yang akan mencorakkan masa depan parti itu mengikut apa yang mereka mahu,” kata Mustafa ketika dihubungi Malaysiakini.

Cakap lain, buat lain

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan sebaliknya berpendapat debat dapat menjawab pelbagai persoalan dihadapi ahli parti, termasuk yang 'panas'.

Katanya, setakat ini kedua-dua kumpulan dilihat dilihat masih berdiam diri daripada menjawab persoalan berkenaan.

Antara isu yang perlu dikupas, kata Wan Saiful, ialah mengenai dasar diperjuangkan kedua-dua kumpulan.

“Saya menyokong penuh (jika ) berlaku perdebatan untuk calon presiden dan timbalan presiden,” katanya.

Ahad lalu Malaysiakini menyiarkan pandangan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Hanipa Maidin yang menyarankan supaya PAS mengadakan debat terbuka bagi memberi peluang kepada orang ramai menilai setiap calon dengan adil, telus dan saksama.

Ditanya kemungkinan sikap berdiam diri di kalangan calon adalah strategi masing-masing menjelang pemilihan, Wan Saiful (kiri) berkata, ia adalah perancangan kumpulan proulama dalam PAS.

Katanya strategi itu sudah lama berlaku.

"Golongan ulama dilihatnya sangat bijak berkempen bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan hujah agama untuk mempertahankan jawatannya.

“Saya tidak nafikan puak proulama ini pandai berpolitik untuk kepentingan mereka," katanya.

Antara strategi itu, kata Wan Saiful ialah apabila Abdul Hadi menguar-uarkan bahawa ahli PAS tidak boleh berlebihan merebut jawatan.

"Sedangkan kumpulan yang berkempen tidak habis-habis ialah kumpulan Abdul Hadi,” katanya.

Bagi Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula, beliau sependapat dengan Mustafa kerana menganggap perdebatan bukan jalan terbaik menyelesaikan isu politik semasa dihadapi PAS.

Sebaliknya, kata Ahmad Atory, calon terlibat hanya perlu bertanding melalui undi perwakilan di muktamar tahunan.

“Pendekatan perdebatan di peringkat biasa boleh untuk dapatkan idea. Tapi di peringkat highly political tidak boleh berdebat.

"Perdebatan di peringkat pertengahan boleh, perdebatan dalam akademik memang baik. Tapi di peringkat tertinggi tak boleh, itu tidak mungkin," katanya. 
 
 
 
 

Tiada ulasan: