Khamis, 7 Mei 2015

Jurugambar bebas KL Express cedera dibaling batu

SINAR HARIAN

Jurugambar bebas KL Express cedera dibaling batu Pasukan Unit Polis Simpanan Persekutuan mengawal penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) semasa berlaku kekecohan diantara penyokong BN dan penyokong Parti Keadilan Rakyat di Tanah Liat. - Foto Bernama
 
 
 
PERMATANG PAUH - Seorang jurugambar bebas portal berita, KL Express, menerima lapan jahitan di kepalanya selepas cedera terkena batu yang dibaling sekumpulan penyokong parti politik ketika merakam kekecohan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat di sini, hari ini.

Mahathir Mohammad, 40, berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, berlaku provokasi di antara dua kumpulan penyokong yang meraih undi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh sehingga bertikam lidah sebelum mereka bertindak mengambil batu-batu di atas jalan raya dan membaling antara satu sama lain.

Berikutan kejadian itu, beliau yang juga seorang blogger, bertindak mengambil kameranya dan merakamkan situasi berkenaan namun beliau terkena batu yang dibaling penyokong parti sehingga kepalanya berdarah.

"Ini kali pertama saya mengalami kecederaan ketika bertugas lebih lima tahun terbabit dalam bidang ini...Alhamdullilah, kecederaan saya tidak serius dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Mahathir berkata, beliau tidak membuat laporan polis dan menganggap kejadian itu sebagai pengalaman dan panduan supaya lebih berhati-hati dalam bertugas.

Selain SK Tanah Liat, kekecohan juga dilaporkan berlaku di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin.

Bagaimanapun, keadaan tegang itu dapat dikawal sepasukan anggota polis yang bertugas dengan meningkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi PRK Parlimen Permatang Pauh ACP Azmi Adam berkata pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Sehingga 4 petang ini, proses pengundian di semua pusat mengundi berjalan lancar, katanya ketika dihubungi di sini.

PRK Permatang Pauh ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). -Bernama

Tiada ulasan: