Jumaat, 29 Mei 2015

Dr Zuhdi: DAP Makin Keterlaluan

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR  - Sikap DAP yang keterlaluan campur tangan urusan dalaman Pas serta cuba mencorakkan organisasi kepemimpinan parti itu bakal menjadi punca kepada keretakan dalam pakatan pembangkang.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, tindak-tanduk pemimpin-pemimpin DAP kebelakangan ini jelas menunjukkan adanya perancangan parti itu untuk menguasai Pas melalui pemilihan Muktamar Pas bulan depan.

“Jelas kelihatan DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan Pas yang berani berkata ‘tidak’ atau ‘no’ kepada DAP. Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan-pimpinan Pas yang tegas seperti ini, DAP telah melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan-desakan DAP dalam mesyuarat-mesyuarat pakatan.

“Muktamar Pas yang akan bermula Khamis minggu depan, dilihat sebagai peluang keemasan untuk menaikkan pimpinan-pimpinan Pas yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain, mereka yang ‘yes man’. Usaha DAP dilihat mulai berputik apabila buat pertama kali sejak era kepemimpinan ulama, Presiden Pas yang kini disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dicabar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Menjelang Muktamar Pas di Kuala Selangor, bulan depan, pimpinan DAP dilihat banyak mengkritik Abdul Hadi dan baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mengkritik Presiden Pas itu apabila mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan pembangkang, sebaliknya hati bersama UMNO.

Menurut Mohd. Zuhdi, bagi mana-mana pimpinan Pas yang merelakan campur tangan dan tunduk kepada kehendak DAP, tindakan itu disifatkan sebagai bacul dan khianat.

“Sekiranya hasrat DAP untuk menaikkan pimpinan yang lunak terhadap desakan mereka berjaya dalam muktamar kali ini, Pas akan menjadi sebuah parti yang hilang maruah dan suara tegas Islam semakin luntur di Malaysia,” katanya.

Jelas Mohd. Zuhdi, pencabar bagi jawatan Presiden Pas, Ahmad Awang dilihat lebih lunak kepada desakan-desakan DAP berbanding Abdul Hadi yang cukup dikenali sebagai tokoh yang tegas dan berprinsip sejak zaman mudanya.

Katanya, ketegasan Abdul Hadi juga menjadi penghalang kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendominasi pakatan pembangkang serta menjadikan Pas sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah.

“Bagaimanapun, apabila dalam kalangan pimpinan di bawah Presiden mula menyanggah ketegasan Presiden mereka sendiri, khususnya sejak isu ‘Langkah Kajang’, pihak yang tidak senang dengan ketegasan Presiden Pas ini mulai menghidu peluang untuk menyingkir beliau dan pimpinan-pimpinan Pas yang setegas beliau.

“Situasi ini makin terserlah, apabila ada pimpinan-pimpinan tertinggi Pas yang menyanggah Pre­siden mereka sendiri dalam mesyuarat-mesyuarat pakatan, malah pernah satu ketika ‘membakulsampahkan’ keputusan Presiden Pas yang dipersetujui sebulat suara ketika mereka mewakili Pas dalam Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pada 17 Ogos tahun lalu,” katanya.


Tiada ulasan: