Rabu, 18 Mac 2015

MP perlu isytihar perjalanan, akujanji SPRM


Ketua Umno Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad Shahrir Abdul Samad
 
 
KUALA LUMPUR - Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri Kabinet dan ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pengisytiharan harta itu sepatutnya dilakukan secara pakej ketika Dewan Rakyat menimbang untuk kenaikan elaun wakil-wakil rakyat sebelum ini.

"Selain isytihar harta, boleh juga dibuat akujanji atau ikrar integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka akan simpan dan apabila ada perkara berbangkit, sudah ada rujukan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Sebelum itu, Tengku Razaleigh mencadangan perkara tersebut kerana ia berkait dengan pertelingkahan kepentingan serta tatacara pemerintahan bagi mewujudkan urus tadbir baik.

Dalam pada itu, Shahril yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut mencadangkan supaya perjalanan ahli Parlimen ke luar negara perlu diisytihar.

“Ahli-ahli Parlimen kena isytihar apa faedah mereka dapat apabila ke luar negara. Siapa taja, apa faedah yang mereka dapat.

“Ia bukan saja harta tapi kepentingan (apa mereka dapat), itu saya setuju,” katanya lagi.

Tiada ulasan: