Rabu, 27 Februari 2019

RON95 kini ditetapkan RM2.08 seliter

Wartawan MalaysiaGazette
petrol
Harga runcit petrol bagi RON95 dikekalkan kepada RM2.08 seliter sehingga pelaksanaan subsidi tersasar diperkenalkan pada pertengahan tahun ini.
 

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 yang pada masa ini ditetapkan pada RM2.20 seliter dikurangkan kepada RM2.08 seliter.

Keputusan itu dibuat oleh Kabinet hari ini.

Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08.

Harga minyak pada 23 Februari hingga 1 Mac ditetapkan pada RM2.08 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Automatic Price Mechanism (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini adalah suatu inisiatif baharu oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan demi melindungi kepentingan golongan B40, yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Takut mati di tali gantung, wanita tertipu hampir RM500,000

THE MALAYSIAN TIMES
 


GEORGE TOWN: Seorang wanita di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdayakan oleh satu sindiket yang kononnya dapat menyelamatkannya daripada hukuman gantung sampai mati.

Sindiket melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai petugas polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan itu turut mendakwa wanita berumur 53 tahun itu ada dua tunggakan bayaran di sebuah bank yang boleh diselesaikan dengan membayar kepada mereka.

“Kerana ketakutan, wanita yang merupakan penjual minuman soya itu telah melakukan tujuh transaksi melibatkan wang berjumlah RM476,000 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket itu,” kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan hari ini.–Bernama

WANITA UMNO SOKONG JAWATANKUASA PENYATUAN UMMAH


Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa penyatuan ummah yang melibatkan UMNO dan PAS.

Katanya Wanita UMNO bersedia memainkan peranan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dalam jawatankuasa tersebut demi agenda kesatuan umat di negara ini.

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada memaklumkan penubuhan jawatankuasa tersebut dan insya-Allah perkara tersebut akan menjadi agenda utama selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Di peringkat Wanita UMNO sendiri telah bermesyuarat dan kami ada perbincangan dari semasa ke semasa, serta sudah banyak kali kali berjumpa buat program bersama,” katanya kepada media sejurus hadir pada Majlis Akifi Semenyih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih pada Selasa.

Dalam perkembangan lain ketika mengulas mengenai penerimaan penduduk Semenyih terhadap Barisan Nasional (BN), Noraini yang juga ahli Parlimen Parit Sulong berkata sambutan amat positif dan memberangsangkan

“Bila kami pergi ke akar umbi terutama ke tempat-tempat awam saya lihat maklum balas amat baik malah ada penduduk yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN.

“Mereka memang mengharapkan BN dapat menjadi pilihan rakyat di Semenyih kali ini, situasi itu tentunya memberi galakkan kepada kami daripada parti-parti komponen BN sambil dibantu oleh PAS untuk berjumpa lebih ramai lagi penduduk di Semenyih,” katanya.


JANGAN MEMBISU ISU RASUAH TEROWONG-ANNUAR



Pendedahan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP yang lain merupakan sesuatu yang serius dan perlu diambil tindakan dengan segera.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pendedahan dibuat oleh penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin melalui portal Malaysia Today merupakan isu serius kerana mendedahkan maklumat sulit daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut tertakluk kepada OSA.

“Perkara sebegini bukan saja mengejutkan rakyat tetapi boleh menjejaskan reputasi agensi penting seperti SPRM,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu, Raja Petra melalui portal Malaysia Today mendedahkan kerjasama jenayah antara Peguam Negara, SPRM dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menyorokkan isu rasuah yang berlaku dalam projek terowong bawah laut selain turut menyembunyikan jumlah yang diterima oleh Guan Eng dan pemimpin PH yang lain.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Guan Eng dan konco-konconya perlu membuat laporan polis dan mengambil tindakan saman ke atas Raja Petra bagi menuntut beliau bertanggungjawab ke atas penulisan yang dibuat.

“SPRM juga diminta segera mengambil kenyataan Raja Petra, bagaimana beberapa dokumen SPRM dikatakan telah diperolehi oleh beliau,” katanya.


AMARAN AMRAN: ‘KILANG FITNAH’ DAP DIBUKA SEMULA

Wartawan Watan-Online

Bekas Pemikir Publisiti Melayu DAP, Amran Ahmad Nor mengingatkan rakyat terutamanya penyokong agenda penyatuan ummah supaya berwaspada dengan pasukan ‘fitnah’ dari DAP yang dikhabarkan bakal kembali dalam tempoh terdekat.

Katanya serangan fitnah itu dibuat bagi menggagalkan usaha penyatuan ummah yang sedang giat diperjuangkan UMNO, PAS serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) sejak kebelakangan ini.

“Hari ini, saya ingin dedahkan bahawa DAP, dalam masa terdekat, akan buka semula ‘kilang fitnah DAP’ setelah ia ditutup selepas menawan Putrajaya bulan Mei yang lalu.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa tokong besar bangsa DAP mengarahkan CEC mengaktifkan semula pasukan fitnah DAP yang berselindung di sebalik pelbagai nama (Cina guna nama Melayu), guna nama UMNO, guna nama PAS untuk menggagalkan penyatuan ummah yang kini menjadi ancaman kepada bangsa DAP,” katanya melalui kenyataan di media sosial rasminya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Amran yang kini Timbalan Pengerusi Gagasan Tiga (G3) berkata pasukan yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih dan bahan propaganda itu akan memulakan serangan fitnah dalam skala yang lebih besar berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Kepada rakan-rakan dalam UMNO, PAS, sahabat-sahabat NGO dan semua netizen yang sokong penyatuan ummah demi Melayu, demi Islam, berhati-hati dan bersiap-sedia untuk menangkis serangan maha dahsyat oleh pasukan ‘fitnah’ DAP ini.

“…Walaupun mereka ini akan menggunakan taktik yang sama – fitnah, fitnah & fitnah lagi (kerana fitnah tak perlu ada bukti) tetapi kali ini fitnah itu lebih dahsyat, lebih kejam dan tanpa selindung kerana sudah jadi kerajaan dan mempunyai dana yang banyak.

“Kalau sebelum PRU14, mereka boleh habiskan hampir RM1 juta untuk viralkan bahan-bahan propaganda (belum termasuk gaji kakitangan dan studio canggih), bayangkan berapa yang mereka sanggup belanjakan hari ini untuk tutup kegagalan tunaikan manifesto dan sembunyikan pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) hari ini,” katanya.


ISYARAT PH BAKAL TEWAS DI SEMENYIH?

Wartawan Watan-Online

Reaksi spontan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang terdiam ketika diajukan mengenai peluang Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak terjawab.

Mohd Redzuan dilihat terdiam sekurang-kurangnya selama 15 saat sebelum memberitahu beliau yakin dengan kemenangan PH.

“Jika sebelum ini saya berasa kurang yakin tetapi sekarang ini saya yakin yang kita akan menang di Semenyih,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh moderator dalam program Bicara Minda di Selangor pada Selasa.

Walaubagaimanapun Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan tidak menghuraikan mengenai asas kepada keyakinan beliau terhadap kemenangan PH di PRK Semenyih.

Ketika ditanya mengenai peluang kemenangan PH di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dijangka bakal berlaku, Redzuan mengakui tidak dapat memberikan jawapan tepat buat masa ini.

“Banyak faktor perlu dinilai, soal siapa calon dan sebagainya dan tentu sekali pihak lawan ada senjata mereka, begitu juga kita tetapi ada baiknya kita perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan,” katanya yang turut memberi alasan beliau belum sempat membuat penilaian terperinci mengenai perkara tersebut.


MAIN ISU UNTUK PANCING UNDI – NAZRI

Oleh Hazierra Lukman




Isu yang digembar gemburkan berhubung ucapan yang berbaur perkauman oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz dianggap sebagai bahan memancing undi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih oleh pihak pro-kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Nazri menegaskan, “Ini percubaan yang terdesak oleh akhbar tertentu yang mungkin pro-kerajaan dan ini peluang untuk memberi gambaran yang salah.

“Bagi mereka yang mengenal saya, mereka mengenali saya,” katanya kepada pemberita di Bandar Seri Putera pada Selasa malam.

LIHAT VIDEO DI SINI


Warga emas didakwa muat naik komunikasi jelik Nabi dan isteri

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan memuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Sayidatina Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya.

Wai Foo Sing, 68, didakwa telah memuat naik satu hantaran melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Foo Sing Wai” yang mana tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama di antara kumpulan yang beragama Islam dengan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 petang, 17 Feb lepas dan hantaran itu telah dibaca pada 18 Feb lepas pada 12 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27 , Menara KPJ, Wangsa Maju

Wai didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 298A(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

PRK Rantau: PAS beri sokongan kepada BN

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: PAS akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha berkata keputusan itu berdasarkan persefahaman yang dicapai kedua-dua parti sebelum ini untuk saling membantu.

“Kemungkinan besar Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan) sendiri akan pertahankan kerusi itu.

“Dalam hal ini, PAS memberi laluan kepada calon BN untuk bertanding (di DUN Rantau).

“PAS tidak akan bertanding di Rantau sebaliknya membantu Tok Mat atas dasar perpaduan ummah dan Melayu,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Keputusan pindah kes saman Anwar ke Mahkamah Persekutuan ditetap 14 Mac

MALAYSIAKINI
 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Mac untuk memutuskan sama ada ia akan mendengar saman pemula yang difailkan oleh Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 melanggar perlembagaan, atau memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata beliau akan meneliti persoalan undang-undang untuk mengkaji perkara itu dan mempertimbangkan sama ada perkara itu perlu dikembalikan ke Mahkamah Persekutuian untuk mendengarnya atau kekal di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar yang juga Presiden PKR berkata pemohon memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenai persoalan perlembagaan.