Selasa, 16 November 2021

Tindakan undang-undang sebar berita palsu kematian Pak Lah

PEJABAT Tun Abdullah Ahmad Badawi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik Facebook yang menyebarkan berita palsu berhubung kematian Pak Lah.

Ia selepas pejabat bekas Perdana Menteri itu menerima satu lagi berita tular melalui hantaran Facebook menggunakan nama ‘Mohd. Hasni Izuwan’ dan ‘Saifulzaman Mahmood’.

“Pejabat Tun Abdullah menafikan sekeras-kerasnya berita tersebut. Untuk Makluman semua pihak, Tun Abdullah berada dalam keadaan sihat-walafiat di samping keluarga beliau.

“Pejabat ini memandang serius penularan berita palsu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya dalam kenyataan dimuat naik ke Facebook, hari ini.

Pejabat Tun Abdullah turut berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan daripada pihak berautoriti sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan kekeliruan.

Berita palsu dimuatnaik akaun Facebook dengan nama 
‘Saifulzaman Mahmood’ mengenai kematian Pak Lah.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menafikan berita kematian Abdullah atau Pak Lah seperti tersebar di media sosial.

Reezal memaklumkan baru sahaja menghubungi isteri Abdullah, Tun Jeanne bagi bertanyakan mengenai perkara berkenaan.

Reezal turut memberitahu, Tun Abdullah dan Tun Jeanne sedang bercuti di dalam negara ketika ini.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua berita palsu mengenai kematian Pak Lah tular di media sosial pada tahun ini selepas 16 Jun lalu.

Tiada ulasan: