Selasa, 16 November 2021

Judi ekor: Mufti tegur Sanusi agar tidak hina institusi agama Islam di P. Pinang

PERJUDIAN hanya akan menambah masalah. - Gambar hiasan

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai judi ekor semalam sebagai suatu penghinaan terhadap pelbagai institusi agama Islam di Pulau Pinang.

Semalam, Muhammad Sanusi membuat pengumuman mengenai pengharaman aktiviti judi nombor ekor di Kedah tahun depan dan menyatakan sesiapa yang masih hendak berjudi boleh melakukannya di Pulau Pinang.

Katanya, kenyataan Muhammad Sanusi yang mengaitkan kegiatan judi ekor dengan Pulau Pinang itu sebagai sesuatu yang tidak wajar dan mendukacitakan kerana terdapat pelbagai institusi agama di negeri itu yang sentiasa komited kepada usaha-usaha bagi memartabatkan kedudukan Islam.

Beliau berkata, Menteri Besar itu perlu lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan serta menjaga imej sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati. dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kontroversi dengan pemimpin negeri lain.

“Selaku seorang ‘abang’ suka saya menasihati MB Kedah ini supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Beliau perlu menjaga imej jawatan yang disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.

“Beliau juga seboleh-bolehnya cuba tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan pemimpin-pemimpin negeri yang lain, terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan yang mesra dengan semua pihak,” katanya pada satu kenyataan.

Dalam kenyataan semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata: “Kerajaan tidak akan beri lesen (baru), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai.”

Dr Wan Salim berkata, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan, termasuk peruntukan mencecah RM70 juta sejak 2008 kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

“… Beliau sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana yang dicetuskan oleh perdana menteri baru-baru ini,” katanya. – UtusanTV

Tiada ulasan: