Monday, November 1, 2021

Tempoh daftar PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai suku kedua 2022

PELAJAR institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) boleh mula mendaftar bagi mendapatkan peranti tablet menerusi Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai suku kedua tahun hadapan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan akan membantu menyelaras pelaksanaan pakej tersebut yang dibentangkan dalam Bajet 2022, baru-baru ini.

Pada masa sama, SKMM berkata, penyedia perkhidmatan mudah alih yang terlibat iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom); Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi); Maxis Berhad (Maxis); U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile); Telekom Malaysia Berhad (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES) akan bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar.

Menurut SKMM, Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan itu membantu pelajar IPT menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan penghantaran mesej kepada keluarga serta rakan-rakan.

“Usaha sama kerajaan dan penyedia perkhidmatan memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk Keluarga Malaysia di mana pelajar IPT adalah peneraju masa depan negara.

“Kini, pelajar IPT daripada keluarga B40 boleh memiliki peranti dan akses internet untuk menjalani pembelajaran yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 mengumumkan kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, Tengku Zafrul memaklumkan, setiap pelajar B40 di IPT akan dibekalkan sebuah tablet.

Bagi tujuan berkenaan, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta.

Seramai 600,000 pelajar daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

No comments: