Monday, November 1, 2021

SPR terima 68,228 pendaftaran pemilih baharu

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 68,228 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September lalu.

Pada masa sama, ia juga melibatkan 15,143 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya.

Sehubungan itu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan pihaknya akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST3/2021 selama 14 hari mulai 2 hingga 15 November ini di 854 tempat pameran seluruh negara.

Kata beliau, semakan RDPT ST3/2021 itu boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan termasuk hadir ke tempat pameran dan mengimbas kod QR bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, pemilih juga boleh melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dengan menyemak buku RDPT ST3/2021 yang disediakan.

Selain itu, beliau memaklumkan, pemilih turut boleh melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak.

“Semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2021. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST3/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ikmalrudin, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

Semasa tempoh pameran RDPT ST3/2021 itu, katanya, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2021 boleh menghubungi talian SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” jelas beliau.

No comments: