Isnin, 15 November 2021

'Sah memang batu, bukan emas'

Ketulan batu yang disangka emas menjadi viral di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang. - Foto pembaca Ketulan batu yang disangka emas menjadi viral di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang. - Foto pembaca

RANTAU PANJANG: Keterujaan beberapa penduduk Kampung Bukit Lata di sini, yang menemui ketulan batu disangka emas bertukar hampa apabila ia disahkan batu biasa oleh pengusaha kedai emas tempatan.

Penemuan batu yang disangka emas itu viral di Facebook pada Selasa lalu selepas dimuat naik beberapa individu, sehingga kawasan berkenaan ditutup keesokanya selepas 'dikerumuni' orang ramai termasuk dari luar daerah.

Penduduk tempatan, Syed Ismail Syed Mamat, 55, mengakui dia antara individu yang turut sama mencari 'emas' terbabit yang mana lokasi pencarian hanya berjarak 100 meter dari rumahnya.

"Kawasan ini sebenarnya tapak pembinaan projek tebatan banjir. Malah penemuan awal batu keemasan ini adalah daripada seorang pekerja di sana.

"Selepas khabar penemuan batu keemasan ini tersebar kepada penduduk kampung, ramai yang menyerbu ke lokasi hingga ke lewat malam menyebabkan pihak pengurusan projek terpaksa menutup kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, seorang kenalan saya yang juga penduduk di sini, ada membawa 'ketulan emas' ke kedai emas berdekatan yang mengesahkan ia bukanlah emas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Azlan Omar, 35, berkata ramai antara mereka yang benar-benar percaya bahawa ia adalah emas, tetapi perlu akur ia hanya batu biasa selepas disahkan beberapa pengusaha emas.

"Saya sendiri sudah membuang semula beberapa batu yang saya temui ketika turut serta mencari ketulan 'emas' berkenaan. Tidak mengapa, tiada rasa menyesal atau malu kerana ia suatu pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini, lagipun penemuanya memang seakan-akan emas," katanya

Tiada ulasan: