Isnin, 15 November 2021

Johor dapat RM4.6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan

ISKANDAR PUTERI: Johor diperuntukkan RM4.6 bilion menerusi Belanjawan 2022, dengan kebanyakannya adalah untuk sambungan projek pembangunan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed, berkata peruntukan itu adalah bagi melengkapkan projek sambungan terutama pembinaan sekolah dan jalan raya.

"Hari ini Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri adakan libat urus dengan kerajaan Johor. Ia adalah sesi libat urus ke-10 kita turun ke negeri bagi jelaskan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) namun lebih penting adalah untuk dapatkan maklum balas untuk kerajaan Johor.

"Untuk tahun depan, Johor diperuntukkan RM4.6 bilion yang kebanyakannya adalah untuk projek sambungan sedia ada membabitkan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Projek Rapid Transit Sistem Link (RTS Link), pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 di Kulai.

"Selain itu, peruntukan untuk Johor itu juga bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Road Show Pasca RMK-12 oleh EPU JPM bersama kerajaan Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, dalam sesi libat urus berkenaan beliau turut memberi penjelasan terhadap isu dibangkitkan kerajaan Johor berikutan kekurangan peruntukan projek baharu di negeri itu.

Beliau menjelaskan, isu kekangan kewangan disebabkan COVID-19 telah banyak menjejaskan hasil negara.

"Itulah sebabnya peruntukan untuk projek baharu agak kecil tahun depan.

"Namun apabila kedudukan kewangan kerajaan bertambah baik, sudah pasti kerajaan akan menimbangkan permohonan yang dapat diberikan untuk projek baharu," katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan menimbang untuk menambah peruntukan untuk Johor, Mustapa berkata, belanjawan 2022 untuk seluruh negara sudah dibentangkan dengan perbelanjaan pembangunan RM75 bilion.

"Persoalan berkenaan bajet tambahan tidak harus berbangkit, namun kita akan kaji untuk peruntukan Belanjawan seterusnya nanti.

"Bagaimanapun peruntukan untuk RMK diberi pada setiap tahun, namu ia tetap bergantung kepada kedudukan kewangan negara," katanya.

Tiada ulasan: