KUALA LUMPUR: Individu yang positif COVID-19 atau perlu menjalani kuarantin di rumah atau hospital, tidak dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan pada hari pengundian kelak.
Katanya, semua pengundi perlu menjalani saringan dan imbasan suhu badan di pintu masuk pusat mengundi, dan mereka yang bergejala atau memiliki suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan di dalam khemah khas.
"Semua pengundi perlu mematuhi SOP asas seperti saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di pusat pengundian.
"Jika ada individu bergejala atau memiliki suhu melebihi 37.5, kita asingkan mereka di dalam khemah bergejala, dan ada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membantu mereka mengundi dan melakukan ujian COVID-19.
"Namun, individu yang memang sudah positif COVID-19 dan dikuarantin di hospital dan sebagainya tidak dibenarkan kerana KKM tidak membenarkan mereka keluar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abdul Ghani memberi jaminan kepada pengundi bahawa SOP yang digariskan mencukupi untuk menjamin keselamatan mereka dan mengekak jangkitan COVID-19 di pusat pengundian.
"Kepada pengundi, jangan bimbang. Setakat pilihan raya yang kita laksanakan sehingga hari ini, termasuk di Sabah, tiada kes COVID-19 di pusat pengundian.
"Jadi, pengundi tidak perlu bimbang dan boleh keluar menjalani proses mengundi pada hari berkenaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan