Sabtu, 13 November 2021

PN bukan macam Tun M, PN tidak tipu rakyat – Muhyiddin

MALAYSIA POST

PN bukan macam Tun M, PN tidak tipu rakyat – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji gabungannya tidak akan mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak memenuhi manifesto yang ditawarkan.

Menyorot kembali kenyataan Dr Mahathir ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Muhyiddin menegaskan, PN tidak akan menipu rakyat dan menyifatkan manifesto bukan ‘kitab suci’.

“Kita bukan Pakatan Harapan. Zaman PH, mereka janji bulan dan matahari, tetapi kemudian Dr Mahathir kata manifesto tidak perlu dipatuhi.

“Kami tidak akan tipu rakyat Malaysia. Apabila kami telah membuat janji, kami akan menunaikannya. Agama kami menuntutnya,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Bemban, Melaka, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diumum, Ahad ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa penyelia mungkin ditubuhkan untuk memastikan PN menunaikan janji jika menang dalam PRN Melaka.

“Kami akan membentangkan manifesto kami yang sudah sedia dan membuktikan komitmen kami,” katanya.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu mengulangi komitmen PN untuk memperjuangkan dasar anti rasuah.

“Ini adalah prinsip kerajaan PN (persekutuan) semasa saya memimpinnya dan saya mahu mengulanginya supaya Melaka maju dengan kerajaan yang telus, prihatin, menolak salah guna kuasa dan memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Covid-19 merungut susulan larangan menyeluruh terhadap kempen fizikal pada PRN Melaka kali ini.

Menurutnya, perkara itu telah disampaikan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin turut melahirkan kebimbangan kes Covid-19 melonjak sempena PRN Melaka susulan peningkatan nilai R-naught atau kadar kebolehjangkitan kepada 1.0 semalam.

Bagaimanapun, dia berkata, prosedur operasi standard (SOP) membanteras Covid-19 tidak seharusnya sehingga menjejaskan demokrasi.

“Aktiviti sosial dibenarkan tetapi aktiviti politik tidak. Covid-19 tidak memilih antara acara sosial dan politik.

“Kami akan patuh kepada SOP. Jika ada kejadian, kami akan bertindak tetapi kerajaan tidak harus menyekat sehingga tidak ada demokrasi. Saya tidak fikir itu adalah niat kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

 

Tiada ulasan: