Sabtu, 13 November 2021

Batal projek HSR, kerugian besar kepada Melaka – Shabery

MALAYSIA POST

Batal projek HSR, kerugian besar kepada Melaka – Shabery

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah sesuatu yang merugikan kepada Melaka.

Beliau berkata, sekiranya projek itu dilaksanakan, ia pasti membawa impak ekonomi yang baik terhadap negeri berkenaan memandangkan tempoh masa yang diambil peloncong Singapura untuk ke Melaka hanya sekitar 50 minit.

Malangnya, beliau berkata, kerajaan terdahulu mengambil keputusan ‘hebat’ membatalkan terus projek berkenaan termasuk membayar pampasan besar kepada Singapura.

“Dulu ramai kata, untunglah Melaka. Kalau keretapi kelajuan tinggi (HSR) siap, pelancong Singapura akan sampai dalam masa 50 minit. 

“Bawak dollar untuk orang Melaka. Lagilah bercambah hotel dan restoran asam pedas. 

“Malangnya, ada yang lebih hebat. Batalkan terus projek ini. Siap bayar pampasan beratus juta lagi kat Singapura,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Kerajaan Barisan Nasiona (BN) sedar bahawa perniagaan utama Melaka adalah pelancongan.

“Kerajaan BN dulu tahu, ‘core business’ Melaka ialah pelancongan. Jadi antara stesen utama mestilah Melaka. Komitmen yang sudah termetri. 

“Sebab tu tak ada siapapun buat manifesto  yang bersifat “game changer” seperti ini untuk Melaka. Apa guna buat yang besar-besar kalau  lepas tu ada kaki batal pulak? ,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery menyifatkan projek HSR adalah projek mega berimpak tinggi yang perlu dilaksanakan walaupun menelan kos tinggi.

“HSR macam 5G. Memang mahal, tapi perlu untuk masa depan. Sedih, ramai nak jadi pemimpin tapi otak 2G. 

“Kelak, jangan pula keluar perkataan “lahabau”  bila melopong tengok Indonesia pun ada HSRnya,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri ketika itu dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan.

Penamatan itu dibuat apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember lalu.

Susulan pembatalan projek itu, Malaysia membayar sebanyak SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek HSR serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Kedua-dua negara terbabit telah mencapai persetujuan berhubung jumlah tersebut susulan proses verifikasi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia. – Malaysiapost

Tiada ulasan: