Sabtu, 20 November 2021

Perintah jaminan lebih baik daripada hukuman penjara bagi jenayah kecil, kata peguam

Sudah tiba masanya untuk penggubal undang-undang menjadikan hukuman tanpa 
tahanan sebagai alternatif yang berdaya maju bagi jenayah tanpa kekerasan, kata 
seorang peguam.

PUTRAJAYA: Mahkamah mesti menjadi penggerak utama untuk membenarkan pesalah yang disabitkan dengan jenayah kecil menjalani hukuman di luar penjara, kata seorang bekas presiden Majlis Peguam.

Matlamat hukuman mestilah sentiasa untuk memperbaharui mereka, kata Salim Bashir.

Tambahnya, lebih baik pesalah diberi peluang untuk membuka lembaran baharu sementara masih menjadi sebahagian daripada masyarakat.

“Mereka berkemungkinan bergaul dengan banduan-banduan yang melakukan kesalahan serius dan mempelajari perkara baharu jika dihantar ke penjara,” katanya.

Salim Bashir.

Salim berkata, ada kemungkinan mereka “menamatkan pengajian” dan melakukan kesalahan lebih serius sebaik keluar dari penjara.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membenarkan seorang juruelektrik berusia 26 tahun dikenakan bon berkelakuan baik kerana menyimpan parang sepanjang 70cm di dalam keretanya tiga tahun lalu.

Mahkamah membenarkan rayuan P Rajesh Kumar untuk menggantikan hukuman penjara 65 bulan dan perintah jaminan selama lima tahun dengan deposit RM10,000 dengan mahkamah.

Dengan itu, hukuman tahanan Rajesh telah digantung, dan dia hanya akan dipenjarakan jika melakukan sebarang jenayah sepanjang tempoh lima tahun itu. Dia juga akan kehilangan deposit RM10,000 terbabit.

Muhammad Rafique Rashid Ali.

Salim berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan memberi panduan kepada mahkamah bawahan apabila hakim perlu memutuskan hukuman yang tepat.

Dalam memuji keputusan itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hukuman penjara hanya diperlukan bagi jenayah berat, seperti yang ditetapkan bawah pelbagai undang-undang keseksaan.

“Sudah tiba masanya juga untuk penggubal undang-undang menjadikan hukuman tanpa tahanan sebagai alternatif yang berdaya maju bagi jenayah tanpa kekerasan,” katanya.

Beliau berkata, perintah jaminan kes juga boleh mengurangkan kesesakan di penjara, sambil menyentuh mengenai bahaya banduan dijangkiti Covid-19.

“Kerajaan juga dapat menjimatkan wang yang dibelanjakan untuk menjaga banduan-banduan ini dan menggaji lebih ramai warden penjara,” tambahnya.

Tiada ulasan: