Ahad, 14 November 2021

‘Perikatan yang ekstrem’ bukan serangan terhadap BN – Ahmad Fadhli

MALAYSIA POST

‘Perikatan yang ekstrem’ bukan serangan terhadap BN – Ahmad Fadhli

ISTILAH melawan ‘perikatan yang ekstrem’ disebut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah bermaksud serangan terhadap Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata istilah itu telah digunakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang mana ketika itu PAS membantu kempen untuk calon MCA.

Menurutnya, adalah sesuatu yang pelik apabila Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengaitkan kenyataan Presiden PAS itu sebagai serangan terhadap BN.

“Saya pelik membaca tulisan naib Presiden UMNO ini. Dengan cepat beliau mengaitkan apa yang disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS itu sebagai satu serangan terhadap Umno/BN.

“Tidak ingatkah beliau bahawa istilah melawan ‘perikatan yang ekstrem’ ini telah digunakan oleh Presiden PAS ketika pilihan raya kecil Tanjung Piai yang mana ketika itu PAS membantu kempen untuk calon MCA.

“Jadi kenapa beliau begitu pantas mengaitkan istilah itu sebagai suatu istilah ditujukan kepada Umno? Apakah yang bertanding di Melaka hanya Perikatan Nasional (PN) dan BN sahaja?” soalnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau percaya, tidak semua pemimpin Umno berpandangan seperti Mohamed Khaled yang dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

“Masih ramai lagi yang positif terhadap penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional (MN). Rata-rata ahli parlimen Umno sendiri di Dewan Rakyat termasuk barisan menteri kabinet sangat positif apabila berbincang berkenaan tajuk ini.

“Sahabat-sahabat saya di dalam Umno pun masih ramai yang boleh diajak berbincang dengan matang dalam tajuk ini,

“Barangkali inilah emosi orang yang kalah apabila bertanding pilihan raya, pantang terasa disentuh terus melatah,” katanya.

Mohamed Khaled dalam responnya terhadap kenyataan Abdul Hadi mengenai melawan ‘perikatan ekstrem’ berpendapat kenyataan itu bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem. – Malaysiapost

Tiada ulasan: