Ahad, 14 November 2021

Penggiat sukan digesa patuh SOP, elak kluster baharu

BH ONLINE

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (tengah) beramah mesra bersama pemain pada Majlis Pelancaran Pembukaan Semula Kiara Skatepark hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (tengah) beramah mesra bersama pemain pada Majlis Pelancaran Pembukaan Semula Kiara Skatepark hari ini.

KUALA LUMPUR: Penggiat dalam pelbagai sektor sukan digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagi mengelak wujud kluster baharu berpunca daripada aktiviti sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata semua pihak merangkumi individu yang melakukan aktiviti dan pemilik premis perlu bertanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing dengan baik, memandangkan negara masih belum menang dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Memang kita kena sentiasa berhati-hati kerana kita belum selesai menangani pandemik COVID-19, kita masih mempunyai cabaran di hadapan. Jadi orang ramai perlu memberi perhatian dan lebih bertanggungjawab dengan mematuhi SOP.

"Kalau boleh kita tak nak ada kluster daripada kegiatan sukan supaya segala kegiatan dan aktiviti sukan dapat diteruskan dengan lebih rancak. Jika timbul kluster, akan menjadi masalah nanti," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran semula Kiara Skatepark di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) di negara ini meningkat kepada angka 1.0, sekali gus mungkin menjadi tanda awal lonjakan kes positif wabak itu.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata nilai Rt 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.

Perkara sama turut dibangkitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan menerusi akaun Twitter pada Khamis lalu, dan menggesa individu yang telah diberi janji temu dos penggalak COVID-19 supaya mengambil dos berkenaan. – BERNAMA

Tiada ulasan: