Ahad, 14 November 2021

Najib optimis BN menang PRN Melaka jika jentera berkerja kuat

MALAYSIA POST'

Najib optimis BN menang PRN Melaka jika jentera berkerja kuat

BARISAN Nasional (BN) optimis memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini. 

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata BN berpeluang menang PRN Melaka dengan syarat jentera parti perlu menganggap saingan daripada parti lawan tetap sengit dan bekerja keras sehingga mencapai kejayaan.

“Kita tidak mahu keadaan kembali seperti dulu dan mengharapkan kerajaan BN dengan Umno menjadi tunjang parti yang kuat iaitu menubuhkan kerajaan dengan sendiri.

“Kempen secara maya juga dilakukan dengan baik setakat ini dalam menarik sokongan pengundi.

“Kali ini prosedur operasi standard (SOP) sangat ketat, maka ini saja yang boleh saya buat untuk membantu,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini. 

Bekas Perdana Menteri itu telah meluangkan masa untuk bertemu calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil, petang tadi. 

Bagaimanapun, Najib berharap, para pengundi akan keluar mengundi dengan mengamalkan SOP bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.

“SOP ketat dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa diyakini selamat, justeru penduduk patut keluar mengundi walaupun dalam norma baharu,” katanya.

DUN Durian Tunggal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Ja’afar Othman daripada Perikatan Nasional (PN), penyandang kerusi, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (Pakatan Harapan) dan Mohd Erfan Mahrilar (Bebas) dan Zahari.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohd Sofi memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 763 undi. – Malaysiapost

Tiada ulasan: