Rabu, 17 November 2021

Keputusan gantung operasi Hawk bergantung siasatan – Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein GAMBAR: Jabatan Penerangan

KEPUTUSAN mahu menggantung operasi semua pesawat pejuang Hawk 108 yang terlibat dalam nahas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, malam tadi bergantung kepada hasil lembaga siasatan khas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selagi pesawat berkenaan berfungsi dengan baik, ia boleh digunakan tetapi tetap bergantung kepada keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM.

Menurut beliau, sebagai pengguna pesawat, TUDM boleh melaporkan keperluan berhubung penggunaan Hawk.

“(Keputusan) banyak berkisar kepada siasatan yang dibuat, sebelum ini pun pernah berlaku satu insiden berhubung kait satu pesawat dan keputusan kita ketika itu untuk menggantung semua pesawat.

“Itu bukan keputusan yang saya buat tetapi mesti datang daripada ATM dan TUDM.

“Bagi saya, penjelasan lebih rapi terserah kepada mereka yang lebih mengetahui,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kejadian yang berlaku malam semalam tidak menuntut kerajaan memikirkan pendekatan berbeza.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan perancangan untuk membeli pesawat baharu seperti yang telah diumumkannya dalam Sidang Parlimen atau menerusi dasar-dasar pertahanan.

“Saya harap apa yang telah dirancang mencukupi untuk memenuhi keperluan TUDM kerana akhirnya mereka adalah ‘pengguna akhir’.

“Sama ada mereka memerlukan pesawat baharu atau peruntukan untuk menyelenggara pesawat sedia ada mesti datang daripada kehendak mereka sendiri kerana kita bukan pakar dan penggunanya.

“Ia terletak di atas bahu TUDM sendiri untuk memastikan aset sedia ada selamat untuk menjalankan apa yang telah ditetapkan bagi memastikan negara selamat,” jelas beliau.

Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketika kejadian, kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth.

Tiada ulasan: