Rabu, 17 November 2021

Dewan kecoh selepas menteri enggan dedah pengurusan geran MITRA

Halimah Sadique berkata, beliau dinasihatkan SPRM supaya tidak mendedahkan
Halimah Sadique berkata, beliau dinasihatkan SPRM supaya tidak mendedahkan 
laporan itu kerana dikhuatiri sebarang maklumat yang mungkin diberikan akan 
mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoal keengganan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique mendedahkan butiran mengenai pengurusan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang didakwa disalahgunakan.

Halimah berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dinasihat pihak berkuasa itu untuk tidak mendedahkan laporan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diasak oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) sekiranya ada pemimpin MIC yang terlibat dalam penyalahgunaan geran MITRA itu.

“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak dapat nak menjawab kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan kerana buat masa ini pihak SPRM telah menjalankan dan memulakan siasatan ke atas pengurusan geran MITRA yang melibatkan program-program yang telah diluluskan 2019 hingga 2020, ketika MITRA berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“… dan kedua (mengenai) program-program yang diluluskan bermula April 2020 hingga 2021 ketika MITRA berada di bawah Kementerian Perpaduan Negara,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Halimah berkata, nasihat daripada SPRM supaya laporan itu tidak didedahkan kerana dikhuatiri sebarang maklumat yang mungkin diberikan dalam jawapan itu akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan SPRM.

Bagaimana, Rayer tidak setuju dengan Halimah dan berkata sepatutnya beliau boleh berterus terang dan SPRM tidak boleh mengarahkan menteri untuk tidak menjawab pertanyaan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

“Saya percaya pihak SPRM tidak boleh memberi arahan tentang jawapan yang boleh diberikan atau tidak boleh diberikan menteri. Menteri berkuasa.

“Kedua, pendedahan itu penting kerana ada tangkapan dibuat SPRM dan persoalan Ahli Parlimen lain adalah kita tanya sama ada pemimpin politik MIC terlibat secara langsung. Rakyat dan Dewan ini ingin tahu,” katanya.

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) turut mencelah dan berkata SPRM lebih berkuasa daripada menteri.

“Ini skandal terbesar. Mesti ‘open’. SPRM satu aspek. Kementerian kena jawab,” katanya.

Halimah bagaimana menjawab, beliau hanya dinasihat dan bukannya diarahkan SPRM untuk tidak menjawab pertanyaan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat

“Saya bukan kata SPRM mengarahkan menteri untuk tidak menjawab.

“Memang saya tahu SPRM tidak boleh arahkan saya dalam saya menjawab sesuatu di Parlimen,” katanya.

Halimah juga menegaskan beliau tidak mempertahankan mana-mana pihak dan sudah memberi kerjasama kepada SPRM.

“Saya sudah minta SPRM masuk jalankan siasatan ini selepas dibangkitkan. Biar SPRM jawab segala semua pertanyaan Jelutong. Saya minta maaf memang tak boleh jawab sebab sedang dalam siasatan SPRM,” katanya.

Selepas itu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) bangun mencelah mencadangkan laporan MITRA itu diberikan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Halimah berkata beliau tidak boleh memberikan laporan itu kerana ia sedang dalam siasatan.

Pada 29 Okt lalu, SPRM dilaporkan mula menyiasat semua penerima dana MITRA sejak 2019, menyebabkan beberapa pemimpin pembangkang mendesak siasatan bagi mengesan semua individu bertanggungjawab.

Tiada ulasan: